PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2014

TAK LUPA PADA MANGSA MH17

Shafie Bachok memimpin bacaan doa pada rumah terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Ledang.
 
Ledang: Orang ramai yang mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Ledang Datuk Ir Hamim Samuri kelmarin, bertafakur dan berdoa 10 minit bagi memperingati mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dan kesejahteraan umat Islam di Gaza.

Bacaan doa dipimpin Imam Masjid Jamek Bandar Tangkak Shafie Bachok antara lain memohon kesejahteraan mangsa nahas MH17 serta dipermudahkan segala urusan membawa pulang jenazah mangsa rakyat Malaysia ke tanah air.

Tetamu turut mengaminkan doa yang memohon kepada Allah SWT supaya saudara Islam di Gaza yang diserang dan dizalimi rejim Zionis memperoleh kemenangan.

Menurut Hamim, rakyat negara ini turut bersimpati dengan penderitaan umat Islam di Gaza yang kehilangan keluarga dan harta benda akibat serangan rejim Zionis.

"Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas rejim Zionis yang menyebabkan ramai umat Islam terbunuh dan cedera selain kemusnahan bangunan kediaman serta masjid," katanya pada majlis rumah terbuka yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.

Turut hadir Pengerusi Sime Darby Berhad Tan Sri Abdul Ghani Othman; Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique, Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Tahir Md Taat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom Abd Razak Minhat, dan Pegawai Daerah Ledang Ab Han Ramin.
 
SUMBER: METRO AHAD, 03 OGOS 2014

Tiada ulasan: