PENGUNJUNG SETIA

29 Ogos 2014

PADI WANGI LUAR JELAPANG

Oleh Hai Rozzaman Jalal

Ledang: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyasarkan pengurangan mengimport beras wangi ketika ini yang berjumlah 250,000 tan metrik atau RM500 juta setahun dari Thailand, Kemboja dan Vietnam menjelang 2020.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata, usaha itu dilakukan menerusi pengkomersialan benih padi wangi MRQ 76 yang ditanam dengan skala besar di luar kawasan saliran dan di luar kawasan jelapang padi dalam tempoh lima tahun.

Katanya, MARDI mensasarkan kira-kira 73,000 tan metrik padi daripada penanaman padi MRQ 76 dan MRQ 74 dapat dihasilkan setahun terutama di kawasan tadahan hujan dan sistem pengairan kecil menjelang 2020.

"Setakat ini, padi jenis itu sudah ditanam secara meluas di Pahang, Kelantan, Melaka, Kedah dan Johor.

"Beras wangi yang dihasilkan daripada MRQ 76 ini mampu menyaingi beras wangi import yang harganya lebih murah dan mempunyai 80 peratus ciri yang sama dengan beras wangi import," katanya selepas majlis Penuaian Padi Wangi MRQ 76 Di Luar Jelapang di Kampung Kesang Tasek di Sungai Mati di sini, baru-baru ini.

Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamed.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom Abd Razak Minhat, Pengarah Pusat Penyelidikan Bioteknologi MARDI Dr Marzukhi Hashim, Pengarah MARDI Johor Saniah Kormin, Pengarah Urusan Bionic Agro Sdn Bhd Profesor Ir Salleh Yahya dan Pegawai Pertanian Daerah Ledang Abdullah Rashidi.

Sharif berkata, bagi memastikan beras wangi tempatan terjamin kualitinya, setiap kawasan yang menanam benih padi berkenaan akan dilantik satu pengilang khas untuk mengelakkan percampuran dengan beras putih biasa.

Katanya, jika kualiti dapat dijaga, petani akan mendapat harga padi yang lebih tinggi antara 20 hingga 30 peratus daripada padi biasa sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

"Petani tidak perlu risau menanam benih MRQ 76 kerana syarikat peneraju yang dilantik pihak kementerian akan membeli hasil padi mereka, malah impak daripada projek itu akan mewujudkan 4,998 peluang pekerjaan," katanya.
 
SUMBER: HARIAN METRO - METRO PLUS, 29 OGOS 2014

Tiada ulasan: