PENGUNJUNG SETIA

22 Ogos 2014

SAMBUT MERDEKA PUPUK PERPADUAN


Ledang: Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang diadakan mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor R Vidyanathan berkata, semangat perpaduan dan persefahaman tunjang utama dalam masyarakat berbilang kaum untuk menggerakkan negeri menjadi lebih maju.

Menurutnya, setiap rakyat negeri itu perlu berbangga dengan budaya yang unik dan dapat hidup bersama dengan ikatan kemesraan yang kental melalui budaya muafakat yang diamalkan.

"Perpaduan dan permuafakatan adalah asas pegangan yang patut dikekal dan dipelihara bersama-sama.

"Kedamaian dan keharmonian yang berterusan di Johor ini bertitik tolak daripada rakyat berbilang kaum yang bersedia menerima kepelbagaian dalam mencari perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor serta pelancaran logo Muafakat Johor di Dataran Ledang dekat Tangkak, di sini, baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Mohamad Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim dan Pegawai Daerah Ledang Ab Han Ramin.

Vidyanathan berkata, konsep Muafakat Johor yang diperkenalkan oleh Menteri Besar memberi kesan yang baik kepada rakyat dan kerajaan negeri mengambil tanggungjawab serius dalam memastikan objektif pelaksanaan tercapai sepenuhnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pelancaran logo Muafakat Johor bagi menggambarkan semangat permuafakatan yang terjalin sejak dulu lagi dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, semangat permuafakatan itu perlu disemarakkan dan dipertahankan seiring dengan nikmat kemerdekaan yang dapat dikecapi setiap rakyat.

"Dengan adanya logo Muafakat Johor ini, ia akan sentiasa mengingatkan kita betapa nilai permuafakatan menjadi satu faktor penting kepada kejayaan negeri pada hari ini," katanya.
 
SUMBER: HARIAN METRO - METRO PLUS, 22 OGOS 2014

Tiada ulasan: