PENGUNJUNG SETIA

26 Ogos 2014

SASAR PENGURANGAN IMPORT BERAS WANGI MENJELANG 2020


Ledang: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyasarkan pengurangan mengimport beras wangi dari Thailand, Kemboja dan Vietnam menjelang 2020 yang ketika ini berjumlah 250,000 tan metrik atau RM500 juta setahun.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata, usaha itu dilakukan menerusi pengkomersialan benih padi wangi MRQ 76 yang ditanam dengan skala besar di luar kawasan saliran dan di luar kawasan jelapang padi dalam tempoh lima tahun ini.

Katanya, MARDI menyasarkan 73,000 tan metrik padi daripada penanaman padi varieti MRQ 76 dan MRQ 74 dapat dihasilkan setahun terutama di kawasan tadahan hujan dan sistem pengairan kecil menjelang 2020.

Setakat ini, padi jenis ini sudah ditanam secara meluas di Pahang, Kelantan, Melaka, Kedah dan Johor dan mampu meningkatkan pendapatan pesawah.

"Beras wangi yang dihasilkan daripada jenis MRQ 76 ini mampu menyaingi beras wangi import yang harganya lebih murah dan mempunyai 80 peratus ciri-ciri sama dengan beras wangi import," katanya pada sidang media selepas Majlis Penuaian Padi Wangi MRQ 76 Di Luar Jelapang di sawah Kampung Kesang Tasek Sungai Mati, di sini, semalam.
 
SUMBER: HARIAN METRO, 26 OGOS 2014

Tiada ulasan: