PENGUNJUNG SETIA

25 Ogos 2014

'PERGI' MENJELANG HARI BAHAGIA

Oleh Ibrahim Isa

Muar: Luluh hati seorang bapa apabila melihat anak perempuannya yang bakal melangsungkan perkahwinan hujung minggu ini terbujur kaku ditutup dengan kain di lokasi kemalangan di Kilometer 148 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Amirah Abd Rahim, 25, yang juga jururawat maut di tempat kejadian apabila Perodua Kancil dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang kiri lebuh raya itu.

Rempuhan di sebelah kiri kereta menyebabkan mangsa parah di badan serta kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bapanya, Abd Rahim Sobri, 48, berkata, dia hanya mengetahui anaknya sudah meninggal dunia apabila tiba di lokasi selepas dimaklumkan Amirah terbabit dalam kemalangan dan terkejut apabila melihat satu jasad terbujur kaku di lokasi yang ditutup dengan kain.

Katanya, lebih menyedihkan apabila mengenangkan arwah yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu tidak sempat melangsungkan perkahwinan yang dijadualkan Sabtu ini ini.

"Beberapa minit sebelum itu, saya dihubungi anggota bomba dan mereka hanya memaklumkan Amirah terbabit dalam kemalangan.

"Saya ingat dia hanya cedera, malangnya kemalangan itu meragut nyawanya," katanya.

Abd Rahim berkata, arwah yang bertugas di Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Ledang sudah melakukan pelbagai persiapan untuk majlis perkahwinannya.

"Arwah pulang ke rumah saya di Rengit, Batu Pahat, Khamis lalu untuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan dengan tunangnya yang berasal dari Segamat.

"Ketika dia keluar rumah jam 6 pagi tadi (semalam), dia sempat bersalam dan cium tangan saya sebelum bergerak ke tempat kerjanya. Benda sudah berlaku dan saya reda," katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambi, Rengit, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan bahagian kiri lebuh raya itu.

"Rempuhan kuat menyebabkan bahagian kiri kereta remuk teruk dan mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati mangsa ingin ke tempat kerja di Klinik Kesihatan Bukit Gambir dari rumahnya di Rengit, Batu Pahat.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Razali Ismail berkata, seramai enam anggota membabitkan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 pagi.
 
SUMBER: HARIAN METRO, 25 OGOS 2014

Tiada ulasan: