PENGUNJUNG SETIA

25 Ogos 2014

BAKAL PENGANTIN BAHARU MAUT NAHAS

Oleh Badrul Kamal Zakaria

Pagoh: Seorang jururawat yang dijadual melangsungkan perkahwinan hujung minggu ini, maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 148 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Amirah Abd Rahim, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas PERODUA Kancil dipandunya dipercayai gagal dikawal lalu melanggar pembahagi jalan.

Mangsa yang bertugas di Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Ledang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 30 Ogos ini.

Bapanya, Abd Rahim Sobri, 48, berkata segala persediaan perkahwinan Amirah bersama pasangannya yang berasal dari Segamat sudah disiapkan.

Katanya, Amirah bersama tunangnya pulang ke kampung di Rengit, Batu Pahat pada Khamis lalu untuk membuat persiapan akhir majlis perkahwinan mereka.

"Anak saya keluar rumah kira-kira jam 6 pagi tadi (semalam) dan sempat bersalam serta mencium tangan saya sebelum ke tempat kerja.

"Tidak lama kemudian pihak bomba memaklumkan anak saya terbabit dalam kemalangan.

"Saya cuma mengetahui dia meninggal dunia ketika tiba di lokasi kejadian dan melihat tubuhnya ditutup dengan kain," katanya.

Rempuhan kuat

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata rempuhan kuat kenderaan dipandu mangsa menyebabkan bahagian kiri kereta terbabit rosak teruk dan memberi impak kepada mangsa.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Pegawai Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Razali Ismail, berkata sebuah jentera dengan enam anggota dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 pagi semalam.

Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.
 
SUMBER: BH, 25 OGOS 2014

Tiada ulasan: