PENGUNJUNG SETIA

27 Jun 2014

KEKALKAN TRADISI GOTONG-ROYONG

HAMIM Samuri (tiga dari kiri) turut memasak makanan bersama penduduk sewaktu Program Kembara Insaniah 2014 di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang, baru-baru ini.

LEDANG 26 Jun - Budaya gotong-royong yang menjadi tradisi penduduk kampung sebelum ini semasa majlis perkahwinan, kematian dan kenduri perlu disemarakkan semula bagi mengukuhkan ikatan kemasyarakatan.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, semangat yang terdapat dalam budaya itu sememangnya menjadi jati diri masyarakat Melayu dan perlu dikekalkan sebagai satu elemen perpaduan.

"Perkara ini sudah sebati dalam jiwa orang Melayu. Golongan muda perlu diterapkan dengan semangat kerjasama dan gotong-royong agar sebati dalam jiwa mereka apabila berada dalam kelompok masyarakat.

"Galakan ini perlu dipupuk sejak usia muda bagi mendedahkan mereka dengan aktiviti kemasyarakatan seterusnya menjadi amalan dalam diri," katanya semasa merasmikan Program Kembara Insaniah 2014 Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) cawangan Muar di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan JPJ Muar, Azmil Zainal Adnan; Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd. Hamzah Basar dan Ketua Pemuda UMNO Ledang, Sahrihan Jani.

Beliau berkata, penduduk kampung masih memegang tradisi lama iaitu bergotong-royong dalam segenap hal dan pakatan tersebut membentuk satu komuniti yang kuat, sekali gus meringankan setiap kerja yang dilakukan.

Menurutnya, program kembara dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan itu dapat merapat hubungan antara warga JPJ dengan penduduk setempat menerusi gotong-royong serta pengisian aktiviti lain.

Sementara itu, Azmil berkata, program tersebut yang dikelolakan Biro Dakwah JPJ Muar bertujuan mendekatkan golongan muda dengan masjid dan surau yang disertai 200 peserta terdiri daripada warga JPJ Muar, Pemuda UMNO Ledang, ahli Muar Bikers dan Bukit Gambir Bikers serta penduduk kampung.

Beliau berkata, mereka membersihkan masjid, tiga buah surau dan tanah perkuburan Islam Bukit Kundur selain mendengar tazkirah bertajuk 'Peranan Masjid' disampaikan Pegawai Jasa Daerah Ledang, Mohd. Fadli Saat.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 JUN 2014


Tiada ulasan: