PENGUNJUNG SETIA

14 Jun 2014

121 SEKOLAH AGAMA DAPAT BANGUNAN BAHARU

Ledang: Kerajaan negeri memperuntukkan RM280 juta bagi membina 121 bangunan baru sekolah agama di Johor.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Johor (JAJ), Suliman Dumang (gambar), berkata peruntukan itu membabitkan kos pembinaan dan kemudahan infrastruktur termasuk kantin dan peralatan seperti kerusi dan meja.

Katanya, bagi pembinaan sekolah agama setingkat, ia membabitkan kos RM1.9 juta sebuah, manakala untuk sebuah bangunan tiga tingkat sebanyak RM2.4 juta.

Pembinaan sekolah agama yang baharu termasuk 12 di Ledang bergantung kepada jumlah murid dan keperluan di sesebuah kawasan seperti yang menumpang di sekolah kebangsaan.

"Daripada jumlah itu, lapan sekolah mula digunakan, beberapa sekolah sudah siap antara 80 hingga 90 peratus, manakala ada yang sudah siap tetapi hanya menanti masa untuk kontraktor menyerahkannya kepada kerajaan negeri," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Sekolah Agama Kerajaan Johor dan Sekolah Menengah Agama Kali Ke-5 Peringkat Daerah Ledang di sini, semalam.

Kerajaan prihatin

Suliman yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Agama Cemerlang kepada bekas Guru Besar Sekolah Agama Bandar Tangkak, Esa Mohammad.

Suliman berkata, pembinaan sekolah agama baharu itu menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pendidikan agama membabitkan lebih 200,000 murid di 557 sekolah aliran itu.

SUMBER: BH, 14 JUN 2014

Tiada ulasan: