ABD JALIL ALI
                                                              ABD JALIL ALI


SAYA lebih suka nama asal, Kampung Sungai Ekor. Entah siapa punya idea, tahu-tahu apabila saya balik mengunjungi orang tua, tempat lahir saya itu telah ditukar menjadi Kampung Sungai Jaya.

Apa boleh buat saya sudah menjadi orang KL, dan tidak ada hak untuk mempertahankan nama asal itu.

Jelas sekali, pembangunan merubah kampung Melayu di Hulu Muar itu. Sejak ditukar di bawah Majlis Daerah Ledang kampung itu – khasnya pekan Bukit Gambir – bertukar wajah.

Dari dua deret kedai papan usang di kiri kanan jalan utama, pekan koboi itu kini bertukar menjadi bandar satelit dengan deretan bangunan batu yang menempatkan antaranya bank, pusat membeli-belah, pasar raya, restoran makanan segera, sekian banyak ‘kopitiam’ dan kafe siber, pasar dan lain-lain pejabat.

Tiga empat bulan dulu tol Bukit Gambir dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjadikan pekan yang dulunya sunyi kini hidup sepanjang 24 jam. Neon warna-warni mewarnai malam.

Kampung kelahiran saya terheret sama dalam arus pembangunan. Lebih separuh kawasannya tiada lagi ladang getah dan kelapa sawit, kini diganti hutan batu-bata. Sungai Ekor menjadi penempatan moden dengan hampir setiap rumah mempunyai kenderaan. Tidak ada lagi basikal tua, hilang sudah pelita minyak tanah.

Bagaimana pun ada dua benda yang tidak berubah – dan amat menyedihkan – mengenai kampung kesayangan saya itu:

Pertama, masjid masih lenggang setiap waktu, betul-betul macam zaman saya kanak-kanak dulu. Setengah abad lalu kampung saya dianggap sebagai tempat jin bertendang. Masjid papan buruk, berlubang sana-sini, tidak berkipas, tidak berlampu, atap bocor ketika hujan. Tidak ada paip, wuduk pun guna air perigi.

Penduduk tidak ramai, tidak sampai 20 buah rumah, munasabahlah jika sembahyang waktu hanya dua tiga jemaah. Malah kerap kali solat Jumaat tidak dapat dilakukan sebab kurang makmum.

Kini Kampung Sungai Jaya serba moden. Masjid tersergam indah, ada lampu elektrik, ada kipas angin, ada karpet, ada segala kemudahan.

Mengecewakan, walaupun penduduk ramai, setiap kali masuk waktu yang datang solat masih boleh dikira dengan jari, jarang sekali ada sepuluh orang. Malah, solat Subuh hanya dua tiga orang. Ada ketikanya azan tidak kedengaran, imam pun tidak datang.

Kawasan kolah tempat berwuduk, hitam berlumut dan licin. Silap-silap gaya boleh tergelincir dan terpelanting gigi palsu. Paip bocor sudah bertahun tidak dibaiki. Tandas jangan cerita, tidak relevan langsung dengan konsep kebersihan Islam.

Sebagai anak jati, dan pulang ke kampung berselang seli setiap hujung minggu, saya berharap betul ada yang prihatin, dan memperbaiki prasarana yang uzur itu. Biarlah jemaah selesa ketika menunaikan solat sunat Tarawih sepanjang Ramadan nanti.

Kedua, pantang hujan lebat, kampung akan banjir. Halaman rumah dan kebun akan ditenggelami air berhari-hari. Ubi, keladi dan tanaman lain baru hendak hidup, mati dibaham air. Hatta, anak ayam yang baru menetas pun dihanyutkan air.

Zaman jin bertendang dulu-dulu saya paling suka apabila kampung banjir. Tebang batang pisang buat rakit, dan ramai-ramai berbogel bulat bermain air hingga bibir biru dan kecut.

Tetapi jin sudah tiada, kini era ICT, serba canggih, serba moden, sepatutnya tidak banjir lagi. Masalah banjir sebenarnya boleh diatasi, sekiranya parit dan saliran dibersihkan. Apa yang terjadi ialah parit besar seliaan pihak berkuasa tempatan penuh sampah saraf dan rumpai.

Setiap kali hujan lebat air tidak mengalir ke sungai, dan melimpah menjadi banjir. Parit yang menakung air tentu sahaja boleh membiakkan nyamuk. Malah, silap-silap gaya buaya tembaga dan naga Tasik Chini boleh berendam di situ.

Banyak aduan telah dibuat ke pejabat wakil rakyat, jawapan yang diberikan sama: “Peruntukan sudah ada!” Sudah dua kali pilihan raya jawapan masih sama, tetapi tindakan tiada. Kampung Sungai Jaya terus banjir.

Penduduk berharap Adun Gambir, M. Asojan sudi datang meninjau parit yang tidak pernah diselia dan penyebab banjir itu. Pengundi kecewa. Takkanlah parit tersumbat pun hendak mengadu pada Timbalan Perdana Menteri!

SUMBER: SINAR HARIAN, 12 JUN 2014