PENGUNJUNG SETIA

13 Jun 2014

35 MURID DIDEDAH ILMU SOLAT DALAM HUTAN

Oleh Hai Rozzaman Jalal


Ledang: Ahli Kelab Nadi Al-Ansor Sekolah Agama Bandar Tangkak di sini, mengambil kesempatan musim cuti sekolah dengan mengadakan ekspedisi mendaki Gunung Ledang, baru-baru ini.

Program julung kali dianjurkan itu disertai 35 murid tahun empat hingga tahun enam bersama sembilan orang guru yang bermula dari Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang dekat Sagil, di sini.

Ketua peserta, Saipul Bahri Ab Kadir berkata, ekspedisi itu memberi pengalaman baru kepada murid berkenaan.

Menurutnya, ia memberi peluang kepada peserta menilai keindahan alam semula jadi menerusi pemerhatian sepanjang pendakian tersebut.

"Ekspedisi ini turut memberi pendedahan ilmu kepada peserta untuk mempraktikkan kaedah solat ketika di hutan selain pengalaman berbentuk fizikal dan mental.

"Ekspedisi ini juga membentuk kerjasama dan hubungan setiakawan antara mereka menerusi aktiviti berkumpulan yang dijalankan agar dapat diterjemahkan apabila mereka berada dalam kelompok masyarakat di luar sekolah," katanya.

Saipul Bahri berkata, ekspedisi itu mengambil masa lebih lapan jam untuk mendaki mengikut trek yang disediakan dan turun semula ke tapak permulaan.

Menurutnya, pihaknya juga berhasrat untuk menjadikan ekspedisi itu sebagai acara tahunan bagi memberi peluang kepada murid lain dari sekolah itu merasai pengalaman terbabit.

Seorang peserta, Mohammad Najmudin Amir, 12, berkata, pada mulanya dia berasa takut untuk menyertai pendakian itu, tetapi atas dorongan rakannya menyebabkannya bersemangat turut serta mendaki Gunung Ledang.

Menurutnya, perasaan takutnya hilang dan timbul keseronokan apabila dapat menikmati keindahan alam semula jadi di sepanjang pendakian itu.

Rakannya pula, Nur Afifah Noor Mohamed, 12, berkata, dia berasa teruja melihat keindahan alam semula jadi secara lebih dekat kerana belum pernah menikmati suasana sebegitu sebelum ini.

Menurutnya, jika diberi peluang dia akan menyertai lagi ekspedisi seperti itu pada masa akan datang yang banyak menguji fizikal dan mental peserta.

SUMBER: METROPLUS HARIAN METRO, 13 JUN 2014

Tiada ulasan: