LEDANG - Masalah banjir di Kampung Sungai Jaya dekat sini akan diatasi dengan pembinaan parit konkrit yang kini dalam proses menunggu kelulusan.

Adun Gambir, M Asojan berkata, permohonan tersebut telah diajukan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) malah mereka juga telah melakukan kerja pembersihan di kawasan tersebut.

“Isu banjir ini telah berlaku sejak tujuh tahun lalu, malah sudah ada tindakan yang telah kita lakukan untuk atasinya. Majlis Daerah Tangkak juga sudah membina sebuah parit besar dengan lebar kira-kira tiga meter untuk mengelakkan air melimpah ke kawasan penempatan.

“Pembinaan parit di kawasan itu juga dilakukan secara berperingkat bermula di Taman Sri Jaya melalui Kampung Sri Jaya sehingga ke Sungai Sawah Ring yang mana panjang keseluruhannya satu hingga dua kilometer.

“Bagaimanapun kita masih menerima aduan berkenaan masalah banjir dan kita telah hantar permohonan untuk pembinaan parit baharu.

"Sekarang ini kita sedang tunggu kelulusan untuk pembinaan parit konkrit kerana kawasan tersebut merupakan luar daripada kawasan majlis daerah,” katanya ketika mengulas ruangan cetusan dari menara KL bertajuk YB, dengarlah keluhan saya.

Asojan berkata, orang ramai juga diminta merujuk kepada pihak pusat khidmat Dun Gambir jika mempunyai sebarang aduan atau perkara yang tidak berpuas hati.

Katanya, ini kerana terdapat pengadu yang tinggal di luar kawasan yang tidak mengetahui tentang perkembangan semasa yang berlaku di kawasan tersebut meskipun sudah ada tindakan yang diambil.

SUMBER: SINAR HARIAN, 14 JUN 2014