ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha menyelamatkan Nor Farhana Ali yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 32, Jalan Muar-Segamat, Ledang, Johor, semalam.
LEDANG 27 April - Seorang jururawat yang hamil empat bulan maut
manakala anaknya berusia tiga tahun patah tangan dalam kemalangan melibatkan
tiga kenderaan di Kilometer 32, Jalan Muar-Segamat, dekat sini hari
ini.
Dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, Nor Farhana Ali, 32, yang bertugas di
Hospital Segamat memandu kereta Perodua Myvi dari arah Muar menghala ke Segamat
sebelum kenderaannya hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Salleh Abd. Razak berkata, kereta
dipandu mangsa kemudian merempuh sebuah kereta Toyota di depannya yang pada
mulanya cuba mengelak tetapi tidak berjaya.
“Kereta Toyota itu yang dinaiki seorang lelaki dan dua wanita yang
masing-masing berusia dalam lingkungan 50-an cuba mengelak ke bahu jalan tetapi
tetap dirempuh kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu terbabas masuk dalam
parit.
“Pada masa sama, sebuah motosikal di belakangnya tidak sempat mengelak dan
merempuh belakang kereta Toyota itu. Namun penunggang motosikal tersebut hanya
cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, mangsa yang cedera parah bersama anak lelakinya yang patah
tangan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, namun Nor
Farhana disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Mohamed Salleh berkata, pemandu dan dua penumpang kereta Toyota tidak
mengalami sebarang kecederaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Tangkak, Seniman Idris berkata,
seramai enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik
sahaja menerima panggilan kecemasan pukul 6.54 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati seorang wanita mengandung
tersepit di bahagian kaki bersama seorang anak lelakinya yang sedang menangis
ketakutan dalam kereta Perodua Myvi.
“Kita ambil masa lapan minit mengeluarkan mangsa yang masih bernyawa tetapi
lemah dengan menggunakan peralatan khas. Orang ramai turut membantu selain
memujuk anak mangsa yang menangis,” katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 APRIL 2015
2 ulasan:
al-fatihah....menangis saya.
Salam warga ledang dan penulis blogsport ini. Saya amat berterima kasih kepada penulis yg begitu prihatin memberi maklumat ini. Apa yg ingin saya perbetulkan maklumat penulis adalah berkaitan mangsa dalam kemalangan tersebut adalah anak perempuan dan kenderaan yang terlibat adalah kerete preve bukannya kenderaan toyota dan kemalangan terhadap anak perempuan tersebut adalah patah kaki bukanya patah tangan.diharap semua pembaca dapat maklumat yang benar dan tepat terhadap perkara kemalangan tersebut.
Yang benar,
Waris mangsa.
Catat Ulasan