ABDUL RAUF MOHD. HAIRANI dan anaknya, Siti Syarifah merupakan antara 15 peserta yang berjaya menawan puncak Gunung Ledang di Ledang, Johor, baru-baru ini.
LEDANG 26 Jun – Usia tidak menghalang seorang guru lelaki berumur 53 tahun untuk menakluk puncak Gunung Ledang yang mempunyai ketinggian 1,276 meter dari aras laut bersama 14 rakannya di sini baru-baru ini.
Abdul Rauf Mohd. Hairani dari Parit Sawah, Kundang Ulu di sini berkata, stamina yang kuat membolehkannya menjejakkan kaki ke puncak dan kejayaan itu didorong minat dan semangat yang kental.
“Setiap pendaki terpaksa melalui pelbagai keadaan dan cabaran. Saya menjadikan aktiviti ini sebagai minat selain berpeluang melihat alam ciptaan Allah yang penuh dengan pelbagai keindahan dan dapat membina ketabahan dalam diri.
“Saya memegang prinsip iaitu bagaimana susah atau setinggi mana pun masalah, kita perlu berusaha sehingga berjaya. Semangat ini juga menjadi perangsang kepada anak bongsu saya yang turut serta mendaki hingga ke puncak Gunung Ledang,” katanya.
Program anjuran sekumpulan guru agama di daerah ini sempena cuti sekolah, disertai 15 peserta daripada pelbagai peringkat usia yang memulakan pendakian dari Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang di Sagil, dekat sini.
Sementara itu, anaknya, Siti Syarifah Abdul Rauf, 14, yang merupakan peserta termuda, bersemangat apabila melihat kegigihan bapanya yang terpaksa ke puncak melalui pelbagai laluan mencabar walaupun sudah berusia.
“Saya bersemangat apabila melihat ayah begitu konsisten dalam pendakian. Saya bersyukur kerana ayah masih diberi kesihatan yang baik. Saya juga berpeluang melihat kepelbagaian flora dan fauna sepanjang pendakian,” katanya.
Setiausaha program itu, Siti Nor Azimah Saad berkata, aktiviti tersebut bertujuan memupuk semangat setiakawan dan menjadikan aktiviti berkenaan satu minat yang mencabar fizikal atau mental peserta.
Katanya, pendakian tersebut merupakan program kali kedua namun sekiranya diberikan kekuatan penganjurannya akan diteruskan dengan perancangan dan konsep yang berbeza.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 JUN 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan