PENGUNJUNG SETIA

23 Jun 2015

MAJLIS DAERAH TANGKAK SEDIA 204 LOT NIAGA BAZAR RAMADAN

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri (empat kiri) menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan gerai bersih, Maria Johari di Bazar Ramadan Tangkak dekat Jalan Naib Long, Ledang. Foto: iNFOLEDANG
 
Ledang: Majlis Daerah Tangkak (MDT) menyediakan 204 lot niaga di empat tapak bazar Ramadan di daerah itu bagi memberi peluang peniaga makanan dan minuman menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang ramai.

Yang Dipertuanya, Mohd Masni Wakiman, berkata sebanyak 56 lot niaga disediakan di Bazar Ramadan Tangkak manakala di Bazar Ramadan Bukit Gambir (48); Serom (30) dan Tanjung Agas (70).

Katanya, bagi menggalakkan peniaga di bazar Ramadan itu mementingkan aspek kebersihan dan keceriaan, MDT mengadakan pertandingan gerai bersih di setiap tapak bazar yang masuk tahun ketiga.

“Beberapa aspek diambil kira ketika penilaian dilakukan oleh panel yang terdiri daripada  Pejabat Kesihatan Daerah dan MDT sendiri untuk mendapatkan gerai terbersih.

“Antara aspek yang diambil kira ialah dari segi penyediaan makanan, kebersihan dan kekemasan gerai serta penampilan peniaga itu sendiri dengan pemakaian penutup kepala dan kekemasan diri.

“Kita akan membuat penambahbaikan dari tahun ke tahun agar semua peniaga yang berniaga di bazar Ramadan mencapai tahap kebersihan yang boleh dibanggakan,” katanya selepas mengiringi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan gerai bersih di Bazar Ramadan Tangkak di Jalan Naib Long, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha MDT, Nazri Izuddin Madon; Ketua WHIP MDT, Zakaria Othman dan Pegawai Kesihatan Daerah Ledang, Dr Zaharah Mohd Salleh.

Mohd Masni berkata, pemilihan tiga buah gerai bersih dilakukan di setiap bazar Ramadan di bawah kelolaan MDT dalam usaha memberi kesedaran kepada para peniaga yang perlu mementingkan aspek kebersihan makanan, gerai dan diri.

Dalam pertandingan gerai bersih untuk Bazar Ramadan Tangkak, gerai milik Maria Johari yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa seperti nasi ayam, murtabak dan rojak petis dipilih sebagai johan.

Gerai NMR Catering milik Mohamad Nordin Mohd Raup yang menjual nasi beriani gam dipilih sebagai naib johan gerai bersih manakala gerai nasi lemak kukus milik K Mohd Hussin M Kattubana di tempat ketiga. -iNFOLEDANG

Tiada ulasan: