PENGUNJUNG SETIA

02 Jun 2015

52 USAHAWAN TEKUN TERIMA RM427,000

ZULHISHAM ISAHAK
 
ABDUL RAZAK MINHAT (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM427,000 kepada wakil Usahawan TEKUN Parlimen Ledang semasa program Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Kawasan Parlimen Ledang 2015 di KKTM Ledang, Johor, semalam.
 
LEDANG 1 Jun - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) meluluskan pinjaman berjumlah RM427,000 untuk 52 usahawan kecil di daerah ini sebagai modal untuk membantu mengembangkan perniagaan mereka.
 
Pengerusi Kelab Komuniti Usahawan Tekun (KKUT) Parlimen Ledang, Mohd. Danuri Shariff berkata, dengan kelulusan tersebut, penerima yang sudah pun mempunyai perniagaan masing-masing diharap tidak meminjam daripada peminjam tidak sah.
 
“Kita tidak mahu mereka terjerat (dengan masalah hutang ah long). Kita mahu usahawan Melayu di Ledang menyertai KKUT untuk mengembangkan perniagaan sedia ada kerana kelab ini berfungsi membantu usahawan kecil termasuk melalui jaringan usahawan sedia ada.
 
“KKUT bertindak sebagai pengantara yang akan menyampaikan maklumat TEKUN kepada ahli-ahlinya,” katanya dalam program Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Kawasan Parlimen Ledang 2015 di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, di sini hari ini.
 
Program yang dihadiri 230 usahawan dari daerah ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan disaksikan Pengurus TEKUN Kawasan Ledang, Mohd. Kidam Menin.
 
Menurut Mohd. Danuri, pe­nyertaan ke dalam KKUT memungkinkan masalah usahawan kecil diselesaikan di mana ahli juga disaran menjalin hubungan dengan usahawan luar daerah untuk membina jaringan perniagaan selain meluaskan usaha pemasaran.
 
KKUT, katanya, bekerjasama dengan pihak kastam dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) dalam menyalurkan maklumat berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan Akta Pencatutan menerusi ceramah.
 
Sementara itu, Abd. Razak dalam ucapan beliau mencadangkan sebuah pusat pemasaran yang menghimpunkan produk keluaran usahawan TEKUN diwujudkan untuk membantu memperkenal dan memasarkan hasil mereka kepada masyarakat.
 
“Setiap usahawan perlu peka dalam mencari peluang pemasaran dan berkongsi pengalaman dengan ahli usahawan lain untuk membentuk satu persaingan yang sihat,” katanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 JUN 2015

Tiada ulasan: