PENGUNJUNG SETIA

10 Januari 2017

ORANG ASLI LEDANG FAIL SAMAN, DAKWA TANAH DICEROBOH

Selasa, 10 Januari 2017 @ 1:56 PM

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Lebih 600 orang asli Ledang memfailkan saman terhadap Zila Maju Enterprise dan tiga yang lain termasuk Kerajaan Negeri Johor atas dakwaan mengganggu dengan membina pagar di atas tanah mereka untuk projek pemuliharaan Taman Negara Johor, sejak November tahun lalu. 

Tok Batin Jengkeng Jani dan Tok Batin Mengek Achai, masing-masing dari Kampung Tanah Gembur dan Kampung Sungai Air Tawas, memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates. 

Mereka menamakan Zila Maju Enterprise, Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Kerajaan Negeri Johor dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat. 

Dalam penyataan tuntutan mereka memohon pengisytiharan bahawa mereka mempunyai hak milik Adat Asli dan tuan punya ke atas tanah yang mereka diami itu. 

Plaintif juga memohon satu perintah bagi menghalang mana-mana pihak daripada memasuki atau melakukan sebarang kerja di atas tanah itu. 

Terdahulu pada sidang media, Mengek berkata projek membina pagar dan mengorek longkang di atas tanah orang asli oleh Perbadanan Taman Negara Johor merosakkan tanaman mereka, selain mengancam kubur nenek moyang mereka. 

Beliau turut mendakwa pihak perkampungan Orang Asli tidak pernah dimaklumkan mengenai notis memulakan kerja yang dikeluarkan Zila Maju Enterprise pada 30 November 2016. 

Sebaliknya mereka hanya menyedari apabila pihak kontraktor menghantar jentera berat ke kampung mereka pada 14 November lalu. 

"Penduduk kampung Orang Asli sudah empat kali berjaya menghentikan kerja kontraktor. Kami mahukan kesemua kerja ini dihentikan segera dengan meruntuhkan semula pagar yang dibina dan mengambus semula tanah yang dikorek," katanya. 

Beliau berkata, tiga kampung terjejas dalam pelaksanaan projek berkenaan ialah Kampung Sungai Air Tawas, Kampung Tanah Gembur dan Kampung Sungai Mering yang keseluruhan membabitkan 784 penduduk.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/232663

Tiada ulasan: