Peserta Serom MTB Jamboree mengambil air minuman.
Persekitaran Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, Johor gamat
dengan kehadiran 870 peminat sukan basikal lasak (MTB) dari dalam dan
luar negara bagi menyertai Serom MTB Jamboree 2015, baru-baru ini.
Kayuhan anjuran Pejabat Daerah Ledang dengan kerjasama Gerakan Belia
4B Kawasan Ledang, KKTM Ledang, CAYO Cycling Team dan Persatuan Warisan
Seni Ledang (PEWANIL), adalah sempena Hari Kemahkotaan Sultan Johor
Sultan Ibrahim baru-baru ini.
Julung kali dianjurkan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Serom, antara lain kayuhan bertujuan memperkenalkan daerah Ledang
sebagai daerah pelancongan sekali gus dapat meningkatkan ekonomi
penduduk setempat.
Setiausaha program, Mokhtar Daud berkata, tidak ramai yang mengetahui
mengenai Ledang yang sebenarnya kaya dengan keindahan alam semula jadi
yang sesuai untuk pelbagai aktiviti termasuk berbasikal.
“Penganjuran Serom MTB Jamboree dapat merangsang minat masyarakat
khususnya golongan muda menyahut cabaran aktiviti sukan basikal lasak
merentas kampung, ladang sawit, paya dan kawasan berbukit.
“Menerusi kayuhan ini, peserta berkayuh sejauh 37 kilometer melalui
30 peratus trek ‘on road’ dan 70 peratus ‘off road’. Paling membanggakan
kerana kayuhan ini turut disertai peserta luar negara dari Singapura,
Filipina, Sweden dan Amerika Syarikat,” katanya.
Bermula seawal jam 8.30 pagi, pelepasan dilakukan Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat bersama Pengarah KKTM Ledang,
Mahzan Teh.
Berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari, penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri.
Mokhtar berkata, sempena penganjuran Serom MTB Jamboree, turut
diadakan program berjalan 10,000 langkah yang dikendalikan Pejabat
Kesihatan Daerah Ledang dan taklimat keselamatan jalan raya oleh Jabatan
Keselamatan Jalan Raya (JKJR).
Sementara itu, Hamim amat berpuas hati dengan penganjuran Serom MTB
Jamboree itu dan berharap ia dapat dijadikan acara tahunan dengan
penambahan nilai hadiah yang lebih besar kepada pemenang.
Katanya, penganjuran program itu dapat memberikan impak yang baik
terhadap usaha menjadikan daerah Ledang sebagai destinasi pelancongan di
samping menjana ekonomi tambahan kepada pengusaha inap desa dan
penginapan di sekitar Serom dan Bukit Gambir.
“Penganjuran Serom MTB Jamboree ini dapat merancakkan lagi usaha
mempromosi pelbagai destinasi dan produk pelancongan yang terdapat di
daerah ini kepada peserta yang terlibat dengan jambori itu yang datang
dari dalam dan luar negara.
“Paling utama, kita mahu orang tahu bahawa di Serom juga ada tempat
terbaik untuk acara berbasikal yang menjanjikan pengalaman kayuhan yang
menarik,” katanya.
Dalam kayuhan ini, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Master Lelaki, Veteran dan Terbuka Wanita.
Peserta, Mohd Farouk dari Format Malaysia Team mengungguli kategori
Terbuka Lelaki apabila dengan catatan masa 1 jam 26 minit. Mohd Farouk
membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan medal.
Pesaingnya, Mohd Razif Salleh (Endurance Team) di tempat kedua
manakala Mohd Ikbar (Paddle Cycling Team) menduduki tempat ketiga dan
masing-masing membawa pulang wang tunai RM300 dan RM100 serta medal.
Bagi kategori Master Lelaki, peserta dari Polygon Malaysia, Mohd
Zukri Tahir muncul juara dan menggondol hadiah wang tunai RM500 beserta
medal manakala Zamzi Mohd dari Endurance Team di tempat kedua (RM300
dan medal) sementara peserta individu Ong Kah Boon menduduki tempat
ketiga (RM100 dan medal).
Peserta individu, Mohd Razli Ibrahim pula mengungguli kategori
Veteran diikuti dua peserta dari Viking Team Singapore iaitu Morten
Hansen (kedua) dan Lans Spangberg (ketiga) yang masing-masing menerima
hadiah wang tunai dan medal.
Dalam kategori Wanita, peserta dari Cannondale Bike Team, Azian Alias
muncul juara menewaskan Ainnurulhuda (Endurance Team) di tempat kedua
dan Nur Shuhada (My Bikeshop Cycling Team) di tempat ketiga.
SUMBER: METRO AHAD, 16 OGOS 2015