HAMIM SAMURI (kiri) menyaksikan Ab. Han Ramin (tengah) menyampaikan anugerah
Tokoh Maal Hijrah Tahun 1437 peringkat daerah kepada Muhammad Ismail
sempena Malam Cinta Allah dan Rasul Sempena Program Membara Malam Ambang
Maal Hijrah di Ledang, Tangkak, Johor, malam semalam.
LEDANG
15 Okt. - Sumbangan seorang mudir Sekolah Menengah Agama (SMA) Darul
Ulum, Serom 4, dekat sini mendapat penghargaan apabila dinobatkan
sebagai Tokoh Maal Hijrah Tahun 1437 peringkat daerah.
Muhammad Ismail, 69, menerima anugerah
itu atas komitmennya yang tinggi dalam mendalami ilmu pengajian Islam
hingga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan
Pengurusan di Open University Malaysia Melaka pada 2014.
Anugerah
tersebut juga berdasarkan ketokohan bapa kepada sembilan anak itu yang
turut melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan di tempatnya apabila
dilantik sebagai Imam Masjid Jamek Parit Bunga, Guru Takmir dan Naib
Kadi daerah.
Beliau menerima anugerah itu
pada Malam Cinta Allah dan Rasul Sempena Program Membara Malam Ambang
Maal Hijrah 1437H Peringkat Daerah di Dataran Ledang, Tangkak di sini
malam tadi.
Program itu dirasmikan Pegawai
Daerah, Ab. Han Ramin yang turut dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Datuk
Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak
Minhat dan Kadi Daerah Ledang, Mohd. Zaini Mohd. Salleh.
Manakala
Anugerah Khas Saudara Kita pula, Nafsiah Abdullah, 58, dari Felda Sri
Jaya, Bukit Serampang dipilih yang memeluk agama Islam pada tahun 1975
di Pejabat Kadi Daerah Muar.
Nafsiah berkata,
ibu bapanya beragama Kristian tetapi dia dipelihara sebuah keluarga
angkat Melayu sejak kecil dan apabila usianya 18 tahun dengan rela hati
telah memeluk agama Islam.
“Saya mengikuti
pelbagai kursus pemahaman agama dan pemantapan akidah yang dianjurkan
oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) bertujuan mendalami Islam,” kata
ibu kepada enam anak yang juga memiliki Sijil Darjah Khas Agama (SDKA)
Sekolah Agama Kerajaan Johor.
Anugerah Khas
Orang Asli diberikan kepada Niya Ng Abdullah, 21, dari Kampung Orang
Asli Tanah Gembur, Tangkak yang memeluk agama Islam pada Disember 2013
di Kompleks Darul Huda, Melaka.
Suaminya,
Abdul Rauf Asah dari Kampung Orang Asli Machap Umboo, Melaka menerima
anugerah itu mewakili Niya Ng yang kini mempunyai seorang anak
perempuan berusia dua tahun.
Niya
anak kepada seorang peniaga berbangsa Cina dan ibunya yang keturunan
Orang Asli dari Tanah Gembur sentiasa memberikan komitmen berterusan
sejak dia memeluk Islam dengan mengikuti program JAIJ.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 OKTOBER 2015