TANGKAK: Tangkak diisytihar sebagai daerah pelancongan, malam tadi,
sejajar hala tuju kerajaan Johor dan Pelan Induk Perancangan Negeri
Johor 2016-2020 untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang
penting kepada pertumbuhan ekonomi di daerah itu.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri,
berkata Tangkak bertuah kerana dianugerahkan keindahan alam semulajadi
yang sering menjadi tumpuan pelancong, khususnya Gunung Ledang yang kaya
dengan pelbagai flora dan fauna.
"Sebagai langkah awal, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM200,000 untuk mewujudkan
taman mini ajaib di sebelah Masjid Tangkak dan peruntukan memperindahkan
landskap kawasan Tol Tangkak dengan spesies tumbuhan Gunung Ledang
manakala Tol Bukit Gambir akan dihiasi tumbuhan hutan negeri Johor
bernilai RM800,000.
"Di samping itu, peruntukan sebanyak RM200,00 diluluskan bagi membina
skrin elektronik di Dataran Ledang bagi kemudahan penduduk Tangkak
menonton perlawanan pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT),"
katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis pelancaran daerah Tangkak
sebagai daerah pelancongan dan Pelan Pembangunan Strategik Majlis Daerah
Tangkak 2016-2020 sempena program Semarak Johor Tangkak 2016 di Dataran
Ledang, di sini malam tadi.
Program Semarak Johor Tangkak 2016 adalah anjuran Kementerian Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (KKMM) bertujuan mewujudkan perpaduan antara
masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Turut dilancarkan serentak ialah buku mewah bertajuk 'Biodiversity of
Gunung Ledang-Mountaineering the Nature' yang dihasilkan Kementerian
Sumber Asli Dan Alam Sekitar.
Hamim yang juga anggota Parlimen Ledang berkata, terdapat 22 produk
pelancongan lama dan baharu dikenal pasti dalam draf Rancangan Tempatan
Daerah Tangkak 2016-2020 dan hasil kajian tersebut menyasarkan sektor
pelancongan sebagai sektor utama yang bakal memacu ekonomi daerah
berkenaan.
Beliau berkata, antara produk berkenaan adalah penanaman padi di Sawah
Ring, perusahaan cendawan, memancing udang galah di Sungai Muar, tanaman
sayuran di seluruh daerah Tangkak, pelbagai kebudayaan serta pusat
tekstil dan pakaian di bandar Tangkak.
"Peluang ini mestilah direbut dan digunakan dengan sebaiknya oleh
penduduk Tangkak kerana sektor pelancongan sebenarnya mampu menjana
pulangan lebih lumayan.
"Industri pelancongan juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada
belia umpamanya dalam bidang perhotelan, pengangkutan, perusahaan ringan
dan bidang lain yang berkaitan dengan sektor pelancongan," katanya.
Mengikut Hamim, dalam keghairahan mengaut keuntungan sektor pelancongan,
aspek pemuliharaan alam sekitar perlu diambil berat supaya anugerah
yang tidak ternilai di Tangkak itu dapat mendatangkan manfaat berganda
kepada semua pihak.
Katanya, kerajaan persekutuan dan kerajaan Johor juga akan memberi
penekanan dalam meningkatkan kedatangan pelancong dari dalam mahupun
luar negara.
"Untuk masa hadapan, beberapa tarikan baharu akan dibina di Tangkak
antaranya ialah litar perlumbaan di Gerisik dan pusat pameran perabot
bagi menambah tarikan di daerah ini," katanya. - BERNAMA
SUMBER : http://www.bharian.com.my/node/149203