PENGUNJUNG SETIA

01 Disember 2018

80 SERTAI BENGKEL MEWARNA BERSAMA UNEH SEMPENA WARUNG BUKU 2.0

 Para peserta menunjukkan hasil lukisan mereka selepas menyertai Bengkel Mewarna Bersama Uneh di Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, Tangkak.
 
TANGKAK (1 Disember): Seramai 80 peserta menyertai Bengkel Mewarna Bersama Uneh sempena program Warung Buku 2.0 yang diadakan di Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir di sini, baru-baru ini.

Bengkel dikendalikan Uneh atau nama sebenarnya Hasren Ismail yang juga anak jati Bukit Gambir itu mendapat sambutan yang menggalakkan bukan saja kanak-kanak malah ibu bapa masing-masing turut menyertainya.
 
Peserta mengikuti Bengkel Mewarna Bersama Uneh sempena program Warung Buku 2.0 di Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, Tangkak.

Pengerusi Karyawan Ledang, Mohd Isnin Tawaf berkata program Warung Buku kali kedua itu menjemput Uneh untuk mengendalikan bengkel mewarna dengan teknik mudah dan bersesuaian dengan semua peringkat umur.

Katanya, Uneh yang mendapat jolokan Raja Pensil Warna aktif mengadakan bengkel mewarna di seluruh negara yang kebanyakannya melibatkan kanak-kanak sekolah selain kelab atau persatuan.
 
Pengerusi Karyawan Ledang, Mohd Isnin Tawaf (dua kanan) bersama Hasren Ismail @ Uneh (dua kiri) selepas program Warung Buku 2.0 di Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, Tangkak.

“Sambutan orang ramai yang menyertai bengkel mewarna kelolaan Uneh sempena Warung Buku ini begitu mengujakan kami. Mereka bukan saja datang dari sekitar Bukit Gambir tetapi dari Tangkak dan Serom.

“Peserta dikenakan bayaran RM10 dan berpeluang mengikuti teknik mewarna yang mudah dan menarik selama 2 ½ jam selain menyertai pertandingan mewarna yang diadakan pada bengkel tersebut,” katanya.
 
Program Warung Buku 2.0 selain menjual bahan bacaan lama turut menjual buku baru dan cenderahati.

Mohd Isnin berkata, selain menjual bahan bacaan lama seperti novel, majalah, buku motivasi dan agama, sempena Warung Buku 2.0 turut menjual sebuah antologi puisi baru berjudul Segala Kasih karya Mohamed MN yang mengandungi 100 buah sajak ciptaan penulis kelahiran Kampung Solok, Tangkak.
 
Buku antologi puisi 'Segala Kasih' karya Mohamed MN yang diterbitkan Karyawan Ledang kini berada di pasaran.

Katanya, antologi puisi yang diterbitkan Karyawan Ledang itu mengandungi sajak pelbagai tema berkisar tentang kehidupan seharian, keluarga, kampung, sejarah tempatan dan pengalaman penulis sendiri. - INFOLEDANG