PENGUNJUNG SETIA

05 Januari 2019

SANTAI PUISI TANGKAK 2019: BACA PUISI ANTOLOGI SEGALA KASIH KARYA MOHAMED MN

 
Mohd Noh Mohamed (duduk 4 dari kanan) bersama ahli Karyawan Ledang dan pembaca puisi bergambar ramai selepas program Santai Puisi Tangkak 2019 yang diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor cawangan Tangkak.

Oleh Khairun Haneffa

TANGKAK (5 FEBRUARI): Karyawan Ledang dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) Cawangan Tangkak mengadakan program Santai Puisi Tangkak 2019 yang menampilkan beberapa penulis dan peminat puisi membacakan puisi karya Mohamed MN.

Puisi yang mengandungi pelbagai tema itu termuat dalam antologi puisi Segala Kasih, antologi kedua selepas Penunggu Waktu yang dihasilkan Mohamed MN atau nama sebenarnya Mohd Noh Mohamed.

Mohd Noh, 58, menulis sajak sejak di bangku sekolah menengah hingga kini dan sudah menghasilkan beratus-ratus buah sajak yang merangkumi kisah kehidupannya dan peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.
Mohd Noh Mohamed membacakan dua buah puisinya dari antologi puisi Segala Kasih pada program Santai Puisi Tangkak 2019 di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor cawangan Tangkak.

Antologi puisi Segala Kasih merupakan himpunan 100 buah sajak tulisan beliau antara tahun 2015 - 2018, semuanya diolah berkisar kepada apa yang berlaku dalam kehidupan sehariannya.

Selain itu, sajak yang digarap turut mencatatkan sejarah sesebuah tempat di kawasan kelahirannya Tangkak berdasarkan pengamatan beliau seperti Chohong Club-1930, Sungai Chohong, Gunung Ledang, Tok Akal dan Di Sini Kasihku Tertumpah.

Mohd Noh turut menukilkan kisah kasih sayang terhadap ayah, ibu, isteri dan anak-anak dalam sajak Segala Kasih, Di Pusara Ayah, Sajak Kepada Isteri, Puisi Untukmu, Permata dan Selagi Ada Nyawa.

Dalam program Santai Puisi Tangkak 2019, Mohd Noh membacakan dua buah puisinya iaitu Segala Kasih dan Chohong Club-1930. Segala Kasih ditulis untuk mengenang kasih sayang terhadap ibunya walaupun telah lama meninggal dunia malah ketabahan dan kepayahan dalam mengharungi kehidupan membesarkan anak-anak menjadi panduan hidup.

Puisi Chohong Club-1930 memaparkan penceritaan mengenai sebuah rumah kayu berdinding papan dan beratap rumbia yang dijadikan wadah penyatuan bangsa Melayu membangkitkan perpaduan menentang penjajah untuk menuntut kemerdekaan.

Tapak Chohong Club kini telah dibangunkan menjadi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak dan ketika itu pejuang bangsa seperti Ahmad Arshad, Ali Raya, Othman Maon, Raja Ahmad dan Meon Abdullah menyatukan orang-orang Melayu di situ demi sebuah kemerdekaan.


Santai Puisi Tangkak turut menampilkan beberapa penulis dan peminat sastera yang membacakan puisi karya Mohamed MN dari antologi Segala Kasih antaranya Ashraf Tumin (Terima Kasih Malam), Juwita ZABP (Sungai Chohong), A Karim Latif (Kampungku), Maisarah Ahmad (Persahabatan), Athira Nia (Biarlah Kita Di Sini) dan Merbau Berdarah (Sebuah Kemerdekaan).

Turut membacakan puisi Datuk Ghafar Nin (Pemimpin Bangsaku), Sueb Norhashim (Ketika Jatuh), Nor’aini A Latif (Di Hujung Pusaramu), Armin Azhari Saleh (Mengenangmu), Lutfi Ismail (Ku Pohon Kepada Tuhan), Zulkhipley Salleh (Tongkat Warrant) serta dua wakil Kelab Bahasa Dan Budaya Melayu (KEBAYU) UiTM Shah Alam iaitu Nor Hidayah (Kembali Mengenangmu) dan Nurul Afiqah (Aku Hanya Seorang Hamba).

Puisi yang dibaca telah diulas oleh Syed Indra Syed Omar (Siso Kopratasa) dari segi isi, tema, dan cara penyampaian.
Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa) membuat ulasan setiap puisi yang dibacakan pada program Santai Puisi Tangkak 2019 di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor cawangan Tangkak.

Yang turut hadir, Pengerusi Karyawan Ledang, Mohd Isnin Tawaf, Pembantu Pustakawan PPAJ Tangkak, Asmaizura Hassan dan Pengerusi Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Ali Md Hanafiah.

Turut memeriahkan program itu ialah bacaan puisi dua orang penulis dari Kerabat Seni Negeri Sembilan (KSNS) Rosman Md Shah dan Wan Eidalafua yang masing-masing membacakan puisi bertajuk Lima Sembilan dan Indahnya Lautan Cinta karya mereka sendiri.

Sempena majlis itu turut diadakan penyampaian Anugerah Peminjam Terbanyak (Abdullah Kasil), Anugerah Peminjam Aktif (Mandy See Siew Eng) dan Anugerah Pengunjung Setia (Cikgu Ganesan) daripada PPAJ Cawangan Tangkak.
Menurut Mohd Isnin, setakat ini Karyawan Ledang telah menerbitkan empat buah buku iaitu dua antologi puisi Penunggu Waktu dan Segala Kasih karya Mohamed MN, antologi puisi Mengukir Laut karya ZA Mahsuri dan sebuah Travelog ‘Nginep’ catatan dan puisi Selami Resam Orang Jawa Sengkang bersama Duta Jauhar 4.0 Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok. -INFOLEDANG

01 Januari 2019

MURID LEBIH KREATIF, BERSEMANGAT TANPA PEPERIKSAAN - MASZLEE

Maszlee (kanan) beramah mesra bersama murid-murid ketika menghadiri lawatan sempena hari pertama sesi persekolahan 2019 di Sekolah Kebangsaan Ledang, Tangkak. - NSTP/Adi Safri

Oleh Mohamed Farid Noh

TANGKAK: Pemansuhan peperiksaan bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) bermula tahun ini diharap menjadi pemangkin kepada murid lebih kreatif dan bersemangat ke sekolah.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata langkah itu juga diharap mampu mentransformasikan pendidikan sekolah rendah negara ini yang sebelum ini lebih bertumpu kepada peperiksaan.
“Kita berharap guru Tahap Satu lebih kreatif dalam mencungkil potensi serta kebolehan murid di samping memastikan mereka sentiasa bersemangat dan seronok datang ke sekolah.
“Penumpuan serta fokus terhadap aspek pembelajaran menyeronokkan di dalam kelas juga perlu ditingkatkan bagi membolehkan murid mendapat manfaat optimum, sekali gus mampu mengembangkan potensi setiap murid yang berlainan.
“Kementerian percaya murid Tahap Satu akan mendapat manfaat dengan menjadi murid lebih kreatif, bijak dan bersemangat dalam pembelajaran mereka selain akan lebih seronok ke sekolah,” katanya selepas melakukan tinjauan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ledang, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif.
Tahun lalu, Maszlee mengumumkan peperiksaan bagi murid Tahap Satu akan dimansuhkan bermula tahun hadapan dan digantikan dengan sistem pentaksiran lebih objektif.
Sementara itu, Maszlee berkata selain fokus terhadap pemansuhan peperiksaan Tahap Satu kementerian juga akan menumpukan kepada kaedah mengurangkan bebanan tugas guru tahun ini.
“Saya akan mengumumkan berita baik kepada guru dalam mengurangkan bebanan tugas mereka perutusan Tahun Baru pada 14 Januari nanti.
“Diharap inisiatif yang bakal diumumkan nanti bakal memberi kelegaan di samping meningkatkan semangat guru dalam mendidik anak bangsa,” katanya.
Mengulas isu kurikulum pelajaran baharu yang dijangka dapat dilaksanakan pada penghujung 2020 atau awal 2021, Maszlee berkata formula terbaik sedang dikaji bagi memantap kurikulum pendidikan negara.
“Jawatankuasa Dasar dan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang dilantik sedang merangka dan mengkaji formula terbaik dari dapatan dan maklum balas pelbagai pihak berkepentingan.
“Kementerian akan umumkan hasil serta formula berkenaan apabila ia selesai bagi mendapatkan maklum balas semua pihak, ” katanya.