Pengerusi Komuniti Buku Karya Johor, Mohd Isnin Tawaf (depan, 4 dari
kiri) dan Tok Batin Mengek Achai (duduk, 5 dari kiri) bergambar bersama ahli
NGO dan penduduk pada Program Silaturahim Menjelang Syawal dan Program Buku
Bersama Komuniti di Balai Raya Kampung Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang
dekat Tangkak.
TANGKAK: Seramai 30 keluarga di perkampungan Orang Asli Air Tawas, di
sini gembira apabila menerima sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian
sempena Program Silaturahim Menjelang Syawal anjuran Komuniti Buku Karya Johor
(KBKJ).
Pengerusi KBKJ, Mohd Isnin Tawaf berkata kunjungan ke perkampungan itu
bertujuan untuk memberikan mereka sedikit keceriaan walaupun hanya beberapa jam
bersama mereka menerusi aktiviti yang diadakan.
Katanya, pihak KBKJ rasa terpanggil untuk mengisi jurang yang tidak
sepatutnya dipisahkan berikutan perbezaan agama dan kaum termasuk tinggal di
pedalaman.
Pengerusi Komuniti Buku Karya Johor, Mohd Isnin Tawaf (kiri) menyerahkan
buku sumbangan Perbadanan Perpustakaan Awam Johor kepada Tok Batin Mengek Achai
pada Program Silaturahim Menjelang Syawal dan Program Buku Bersama Komuniti di
Balai Raya Kampung Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang dekat Tangkak.
Menurutnya, KBKJ bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan
individu bersama-sama menyantuni mereka dan memberikan sumbangan berdasarkan
kemampuan masing-masing.
“Kita mungkin tidak mampu memberi kebahagiaan kepada keseluruhan hidup
mereka sepanjang masa. Tetapi kita cuma mampu memberi mereka sedikit keceriaan
walaupun hanya beberapa jam saja dalam hidup mereka.
“Selain penyampaian sumbangan kepada setiap keluarga berupa beras, kuih,
air mineral dan pakaian, setiap kanak-kanak turut menerima duit raya sumbangan
penulis Zety Natalia Elias,” katanya ditemui pada Program Silaturahim Menjelang
Syawal dan Program Buku Bersama Komuniti di Balai Raya Kampung Orang Asli Air
Tawas, Gunung Ledang dekat Tangkak.
Kanak-kanak menerima sumbangan duit raya yang disampaikan Zety Natalia
Elias di Balai Raya Kampung Orang asli Air Tawas, Gunung Ledang dekat Tangkak.
Hadir sama, Tok Batin Mengek Achai, Ikon Membaca KBKJ, Syed Indera Syed
Omar (Siso Kopratasa) dan Pengerusi Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) Daerah Tangkak, Hussein Mujip.
Ikon Membaca Komuniti Buku Karya Johor (KBKJ), Syed Indera Syed Omar
(Siso Kopratasa) (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga masyarakat
Orang Asli Kampung Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang, Tangkak.
Mohd Isnin berkata, dalam Program Buku Bersama Komuniti pula diadakan
aktiviti untuk kanak-kanak iaitu membaca buku dan bercerita serta mewarna
bersama Hasren Ismail yang lebih dikenali sebagai Uneh Raja Pensil Warna.
Katanya, bagi golongan dewasa pula diadakan ceramah motivasi oleh Pustakawan
Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia Johor, Dr Siti Nisrin Mohd Anis yang
juga ahli Persatuan Biblioterapi Malaysia (Perbima Selatan).
Raja Pensil Warna, Uneh @ Hasren Hj Ismail mengadakan aktiviti mewarna bersama anak-anak masyarakat Orang Asli Kampung Air Tawas, Tangkak.
"KBKJ sentiasa menyahut seruan kerajaan khasnya Kementerian Pendidikan
dengan mengadakan aktiviti membaca dalam kalangan pelajar dan masyarakat
selaras dengan kempen Dekad Membaca 2020.
“Dengan membaca buku atau bahan bacaan yang bermanfaat kita boleh
menakluki dunia kerana melalui pembacaan kita dapat menimba banyak pengetahuan,”
katanya.
Sementara itu, Tok Batin Mengek berterima kasih kepada KBKJ dan NGO yang
hadir di atas pemberian sumbangan barangan keperluan dapur dan pakaian kepada
30 keluarga termasuk tiga keluarga Islam yang tinggal di perkampungan itu.
Tok Batin Mengek Achai (kanan) mewakili keluarga masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Air Tawas,
Gunung Ledang dekat Tangkak menerima sumbangan sempena Program Silaturahim
Menjelang Syawal.
Katanya, pelbagai aktiviti yang diadakan sempena program itu diharap
dapat memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli di kampung itu dan jalinan
hubungan itu akan berterusan walaupun mereka tinggal di kawasan pedalaman. -INFOLEDANG