Penasihat Tinta Karya, Prof Madya Dr Zaleha Kassim (duduk kiri) dan Pengerusi Tinta Karya, Dato’ Ab Ghafar Nin (duduk tengah) bergambar ramai selepas majlis pelancaran buku-buku terbitan Tinta Karya di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Bukit Gambir, baru-baru ini.
TANGKAK: Persatuan Pengkarya Dan Pencinta Seni Tinta Karya Tangkak (Tinta Karya) melancarkan 14 buah buku karya Gabungan Penulis Tinta Karya yang diterbitkan sepanjang tahun 2020 hingga 2021 ketika negara berada dalam situasi pandemik Covid-19.
Pengerusi Tinta Karya, Datuk Ab Ghafar Nin berkata, ketika rakyat di negara ini terkesan dengan Covid-19 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan golongan penulis terus aktif menghasilkan karya mereka dengan menggarap pelbagai idea yang berkaitan dengan situasi semasa.
Katanya, karya mereka sama ada dalam bentuk puisi, pantun atau rencana perlu didokumentasikan dalam bentuk buku agar ia dapat ditatap dan menjadi bahan bacaan semua generasi.
“Kita dokumentasikan karya-karya kreatif penulis dalam bentuk buku sama ada antologi bersama atau persendirian untuk menggalakkan masyarakat kita membaca bahan bacaan dalam pelbagai genre penulisan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Buku-buku Terbitan Tinta Karya di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor cawangan Bukit Gambir, di sini. Pelancaran disempurnakan Penasihat Tinta Karya, Prof Madya Dr Zaleha Kassim. Hadir sama Gabungan Penulis Tinta Karya dari seluruh negara.
Sementara itu, Dr Zaleha berkata ramai dalam kalangan penulis sama ada baru atau pertengahan menulis dengan ilmu dan latar belakang yang sederhana.
Katanya, dalam proses penulisan kreatif terutama penulis pemula memerlukan banyak bimbingan dengan menimba ilmu penulisan daripada mereka yang pakar dalam bidang itu.
“Fokus kita kepada bidang penulisan, maka dengan usaha dan kolaborasi bersama pelbagai kumpulan lain dengan merujuk kepada mereka yang pakar kita cuba menghasilkan yang terbaik dalam berkarya,” katanya.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian sumbangan barangan makanan kepada beberapa golongan asnaf dan ibu tunggal sekitar Bukit Gambir dan bacaan puisi oleh ahli persatuan yang hadir.-INFOLEDANG2022