TANGKAK: Hampir 100 orang penduduk pelbagai peringkat umur menyertai program Sukaneka Batu 19 Ceria Berukhuwah 2023 yang julung-julung kali diadakan, baru-baru ini.
Pengarah program, Mazeni Keling berkata program itu bertujuan menghimpunkan warga Kampung Melayu Batu 19, Sengkang Bukit Gambir sama ada yang berada di kampung mahupun di luar menyertai program yang dirancang.
Katanya, walaupun baru pertama kali dianjurkan namun ia mendapat sambutan positif penduduk apabila mereka turut menyertai pertandingan dalam sukaneka permainan tradisional yang diadakan termasuk baling tin, boling kelapa dan tarik tali.
Menurutnya, mereka sama-sama bergotong-royong membuat persiapan dari mula hingga selesai program dalam suasana harmoni.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Sahrihan Jani
ketika merasmikan program itu berkata penganjuran program itu dapat memupuk
semangat kerjasama dalam kalangan penduduk di samping mengeratkan ukhuwah yang
sedia terjalin. -INFOLEDANG