PENGUNJUNG SETIA

22 September 2009

300 RUMAH WARGA MISKIN DIBAIKI

Syarikat korporat bantu projek kediaman rakyat daif di Parlimen Ledang


KESANG: Kira-kira 300 rumah keluarga miskin di Parlimen Ledang dikenal pasti untuk projek pembinaan semula dan kerja baik pulih sepanjang tahun ini, dalam usaha kerajaan negeri membasmi masalah kemiskinan tegar.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata projek itu akan dijalankan secara berperingkat menerusi peruntukan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Pejabat Menteri Besar.

Katanya, tahun lalu sebanyak 78 rumah keluarga miskin dibina, manakala 71 lagi rumah yang dalam keadaan tidak sempurna sudah dibaik pulih.

"Melalui usaha itu kita berharap usaha kerajaan memastikan tiada miskin tegar menjelang tahun depan dapat dicapai," katanya.

Abdul Ghani berkata, kerajaan berterima kasih kepada syarikat yang korporat yang turut tampil menyampaikan sumbangan, sekali gus menunaikan tanggungjawab mereka membantu golongan yang memerlukan.

"Banyak juga syarikat korporat yang menyempurnakan tanggungjawab zakat mereka menyebabkan jika dulu kutipan zakat tidak sampai RM40 juta tetapi sejak dua tiga tahun jumlah itu semakin meningkat," katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa memastikan supaya zakat itu diagihkan kepada mereka yang memerlukannya melalui asnaf yang ditentukan supaya ia menepati syarat yang ditetapkan.

Abdul Ghani menyampai sumbangan kepada 650 anak yatim dan miskin, manakala keluarga miskin dari 138 cawangan Umno Ledang turut menerima sumbangan yang sama.

Pada majlis itu, isteri Abdul Ghani, Datin Prof Jamilah Ariffin turut menyampaikan sumbangan barang keperluan makanan kepada kira-kira 50 ibu tunggal kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom yang diwakili oleh Abdul Ghani.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 22 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: