PENGUNJUNG SETIA

12 September 2009

OPS SIKAP KE-20 BERMULA ESOK

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my


MUSA memakaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal sempena majlis pelancaran Ops Sikap Ke-20 di Dataran Tanjung Emas, Muar, semalam.

2,000 penguat kuasa jaya kempen 14 hari

MUAR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Ops Sikap Ke-20 2009, di Dataran Tanjung Emas, di sini, semalam.

Katanya, kempen yang dijalankan selama dua minggu mulai 13 September itu akan membabitkan kira-kira 2,000 penguat kuasa termasuk polis, bomba dan ambulans dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut.

Musa berkata, walaupun pihaknya menjalankan langkah penguatkuasaan termasuk memastikan kelancaran lalu lintas, terpulang kepada sikap pemandu sendiri supaya tidak gopoh gapah untuk mengelakkan daripada berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas.

Katanya, PDRM akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang melanggar peraturan jalan raya bagi memastikan Ops Sikap Ke-20 berjalan lancar.

Selain itu, katanya, pihaknya juga akan menjalankan operasi bersepadu dengan agensi penguat kuasa lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau berharap Ops Sikap yang dilancarkan sempena hari raya tahun ini dapat mengurangkan jumlah kemalangan raya terutama membabitkan kematian.

"Kadang-kadang saya malu apabila rakyat Malaysia yang terkenal dengan budaya sopan santun boleh berubah menjadi orang berbeza apabila memegang stereng sehingga menyebabkan mereka sentiasa nak ke depan tanpa mengira orang lain.

"Sikap seperti ini perlu diperbetulkan supaya kita menghormati undang-undang dan pengguna jalan raya lain. Pihak penguat kuasa (polis) hanya sebagai pembimbing serta mendidik... yang perlu berubah ialah sikap pemandu itu sendiri," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 12 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: