PENGUNJUNG SETIA

22 September 2009

ATASI MASALAH BANJIR SEGERA

MUAR 21 Sept. - Masalah banjir kilat yang membelenggu penduduk Kampung Tanjung Agas di sini perlu diberi perhatian serius memandangkan keadaan tersebut telah berlanjutan sejak sekian lama.

Dengan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna, hujan lebat selama dua jam boleh mengakibatkan air melimpah masuk ke dalam rumah penduduk sehingga mencecah 0.3 meter.

Menurut seorang penduduk, Awang Husin, 80, punca utama yang mengakibatkan banjir tersebut adalah kerana parit tanah di kampung berkenaan masih belum dinaik taraf.

"Jika hujan lebat, sebanyak 30 buah rumah di Kampung Tanjung Agas boleh dimasuki air kerana banjir kilat.

"Keadaan boleh menjadi lebih teruk apabila waktu air pasang dan pintu air tidak bertutup kerana kedudukan kampung ini tidak jauh dari tali air Jabatan Pengairan Saliran (JPS) yang membawa air ke Sungai Muar," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Jelasnya lagi, dalam tempoh hampir setahun ini, rumahnya telah dinaiki air sebanyak tiga kali gara-gara kejadian banjir kilat.

"Setiap kali hujan lebat keluarga kami menjadi resah kerana barang-barang perlu dipindahkan ke tempat tinggi dengan segera," katanya.

Menurut seorang lagi penduduk, Nordin Ahmad, 56, kejadian banjir di kampung tersebut diburukkan lagi apabila air daripada parit utama tertolak masuk ke parit di kampung itu.

"Jarak di antara parit di jalan raya dengan rumah-rumah di hujung kampung ini adalah sejauh 200 meter dan sehingga sejauh itu air melimpah masuk ke dalam kampung," katanya.

Beliau memberitahu, masalah berkenaan telah diajukan kepada agensi kerajaan berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Muar dan JPS, namun sehingga kini masih belum mendapat perhatian sewajarnya.

"Saya amat berharap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana ia melibatkan kepentingan para penduduk," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: