PENGUNJUNG SETIA

24 September 2009

LUBOK DAPUR TERPINGGIR


DR. SHAHRUDDIN Md. Salleh beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli untuk meneliti pembangunan yang dapat dibawa di Kampung Orang Asli, Lubok Dapur, Pagoh, Muar, baru-baru ini.


MUAR 23 Sept. - Kedudukan penempatan Orang Asli Kampung Lubok Dapur hanya terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Pagoh namun sehingga kini ia masih jauh ketinggalan tanpa mempunyai sebarang kemudahan bekalan air dan elektrik.

Lebih menyedihkan, jalan yang menghubungkan kampung tersebut belum berturap tar dan mereka yang ingin pergi ke kampung berkenaan perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana bentuk jalan yang teruk dan mendaki.

Bermula dengan lima keluarga Orang Asli yang membuka kampung tersebut pada tahun 1916, penempatan itu terus berkembang kepada 170 penduduk walaupun mereka hidup dalam serba kekurangan.

Menurut Tok Batin Lubok Dapur, Lanyau Kop, para penduduk di kampung tersebut sememangnya dahagakan pembangunan yang sedikit sebanyak dapat memberi keselesaan kepada mereka.

Melihat pada cara pemakaian Orang Asli di kampung itu yang tampak moden, mereka sewajarnya tidak lagi hidup dengan bergantung pada bekalan air perigi dan api pelita untuk kehidupan seharian.

Jelas Lanyau, pihaknya amat berharap bantuan daripada kerajaan untuk menjalankan pembangunan di kampung tersebut memandangkan kebajikan Orang Asli perlu mendapat lebih tumpuan.

"Saya percaya sesiapa yang pernah pergi ke kampung ini pasti mendapat kesukaran kerana perjalanan yang begitu teruk dan terpencil di dalam.

"Bagaimanapun sama seperti orang lain, kami turut mengharapkan peruntukan bagi menaik taraf di samping kemudahan bekalan air dan elektrik serta klinik kesihatan untuk sampai di kampung ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak di Kampung Lubok Dapur di sini baru- baru ini.

Majlis berkenaan bukan sahaja dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Dr. Shahruddin Md. Salleh malah turut mendapat kunjungan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Osman Bungsu.

Menurut Lanyau, buat ketika ini, penduduk kampung terbabit bergantung rezeki pada ladang kelapa sawit seluas kira-kira dua hektar di kampung berkenaan namun ia tidak mencukupi untuk menampung pendapatan mereka.

"Besar harapan kami jika pihak kerajaan dapat membantu penduduk Orang Asli ini untuk mengusahakan penternakan lembu dan kambing serta terlibat sama dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

"Saya yakin usaha itu dapat memberi pendapatan tambahan kepada para penduduk dalam membolehkan kami lebih berdikari," katanya.

Dalam pada itu, Lanyau memberitahu, para penduduk Kampung Lubok Dapur amat terharu dengan kehadiran Dr. Shahruddin memandangkan beliau adalah wakil rakyat pertama yang menjejakkan kaki di kampung mereka.

Katanya, walaupun wakil rakyat telah silih berganti selama ini, belia serta penduduk amat terharu dengan keprihatinan ADUN berkenaan yang membuat lawatan turun padang untuk membantu para penduduk.

"Kami berharap ini bukan kunjungan yang pertama dan juga bukannya kunjungan terakhir, semoga segala pembangunan yang direncanakan dapat dilaksanakan secara berkesan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: