PENGUNJUNG SETIA

16 September 2009

RM60.6 JUTA CERIAKAN PENEROKA FELCRA

Oleh Junita Mat Rasid
bhnews@bharian.com.my

9,341 peserta terima dividen hasil kejayaan 140 projek perladangan bagi tempoh dua tahun

SEGAMAT: Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna kepada keluarga 9,341 peserta Felcra Berhad di seluruh Johor apabila mereka menerima pengagihan dividen berjumlah RM60.6 juta hasil daripada 140 projek peladangan yang dijalankan.

Majlis pengagihan dividen itu disempurnakan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Baba serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buloh Kasap, Datuk Othman Jais, di Pusat Latihan dan Rekreasi Felcra Berhad Tebing Tinggi, dekat sini.

Daripada jumlah itu, peserta daerah Segamat mencatatkan jumlah dividen tertinggi iaitu RM17.1 juta, diikuti oleh Kluang (RM17 juta), Kota Tinggi (RM9.3 juta), Mersing (RM8 juta), Batu Pahat (RM2.6 juta), Muar (RM2.6 juta), Ledang (RM1.3 juta), Pontian (RM1.3 juta), Kulaijaya (RM662,241) dan Johor Bahru (RM223,372).

Tajuddin berkata, pengagihan dividen itu dibuat berdasarkan kepada pendapatan separuh akhir Felcra bagi 2008 dan juga interim bagi tempoh 2009.

Katanya, pihaknya berharap pengagihan dividen itu dapat digunakan sebaiknya oleh peserta untuk perbelanjaan keluarga termasuk membuat persiapan Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata, Felcra Berhad yang ditubuhkan sejak 1966 lalu sentiasa berusaha bagi meningkatkan pendapatan peserta selaras dengan matlamatnya untuk membantu masyarakat luar bandar mengatasi masalah kemiskinan melalui pembangunan tanah terbiar atau membaik pulih tanah sedia ada.

"Sejak ditubuhkan kira-kira 43 tahun lalu, Felcra melaksanakan program terbiar dengan melaksanakan pemulihan dan membangunkannya menjadi ladang kelapa sawit, getah atau padi," katanya.

Sementara itu seorang penerima dividen, Abdullah Mat Isa, 56, dari Felcra Buloh Kasap, berkata beliau akan menggunakan wang itu sebaik-sebaiknya termasuk untuk persiapan raya.

Katanya, beliau menerima jumlah dividen kurang separuh berbanding RM13,000 yang diterima tahun lalu berikutan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga komoditi itu yang semakin rendah.

"Saya menjangkakan jumlah dividen untuk tahun depan akan terus menurun menyebabkan saya perlu bersedia dan memastikan menggunakannya dengan secara berhemah," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: