PENGUNJUNG SETIA

16 September 2009

TERUS PUPUK JALINAN SILATURAHIM: TPM

JAAFAR (kiri) menyampaikan sumbangan zakat Uda Holdings berjumlah RM150,000 kepada Muhyiddin di Surau Saadiah, Muar, semalam.

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta umat Islam negara ini terus memupuk hubungan silaturahim di mana saja mereka berada dan memastikan jalinan itu terus kukuh yang membolehkan mereka dapat menjalankan tanggungjawab serta amanah dengan sempurna.

Timbalan Perdana Menteri, berharap masyarakat akan terus bersama-sama memupuk semangat saling bantu membantu dan membentuk kerjasama untuk terus membangunkan negara ini.

"Umat Islam di negara ini bukan besar sangat, bilangannya tidak ramai, jadi penting hubungan ukhwah sesama kita terus terjalin," katanya ketika berucap pada Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa di Surau Saadiah, di sini semalam.

Pada majlis itu Muhyiddin turut menerima zakat daripada Uda Holdings berjumlah RM150,000 yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Jaafar Abu Hassan dan menyampaikan sumbangan kepada 50 fakir, ibu tunggal serta anak yatim.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan dua anak lelaki mereka, Fakhri Yassin serta Farhan.

Muhyiddin berkata, beliau mahu melihat umat Islam negara ini mencapai kemajuan dan pada masa yang sama kerajaan sentiasa memberi tumpuan serta menjalankan usaha bagi membangunkan umat Islam dalam semua bidang.

Katanya, beliau sebagai orang nombor dua dan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sentiasa terbabit dan berbincang bagi mencari jalan untuk memajukan lagi umat Islam negara ini.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: