LEDANG 11 Sept. - Seramai lapan orang termasuk enam remaja ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam dua kejadian samun ke atas pekerja asing di Gersik, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kesemua suspek yang berusia antara 16 hingga 20 tahun itu ditahan di sekitar Gersik pada Ahad dan Isnin lalu.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah menggunakan cota kayu dan besi untuk menyamun pekerja asing yang dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka pada waktu malam selepas bekerja.
"Kes samun pertama berlaku pada 6 September lalu apabila dua pekerja asing disamun dan dicederakan sekumpulan lelaki yang menaiki kereta Perodua Kancil warna putih.
"Kejadian kedua pula berlaku pukul 10.30 malam keesokannya terhadap seorang pekerja asing yang disamun sekumpulan lelaki menggunakan kenderaan sama," katanya.
Harun berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, pihaknya yang melakukan pemantauan terhadap kes itu dapat menahan empat suspek dalam tempoh dua jam selepas kejadian kedua berlaku.
"Dengan diketuai Pegawai Penyiasat, Inspektor Jamellulkamal Abdul Hali, kami telah menahan sebuah kereta Kancil dan memberkas tiga remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang lelaki berusia 18 tahun dalam kenderaan itu," katanya.
Susulan penahanan empat suspek terbabit, polis kemudian menahan dua lagi suspek yang berusia 20 tahun selain dua remaja lain berusia 16 dan 18 tahun di sekitar Gersik, katanya.
Hasil rampasan yang dibuat, polis menemui sejumlah wang tunai, dokumen pengenalan diri mangsa serta senjata yang digunakan suspek.
"Siasatan yang dibuat turut mendapati kereta yang digunakan suspek merupakan kereta yang dicuri di Bukit Baru, Melaka pada akhir bulan lalu," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA 12 SEPTEMBER 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan