LEDANG 2 Jun - Seorang bapa sempat memangku dan memeluk tubuh kaku
anak lelakinya selama satu jam selepas terlibat dalam kemalangan sebelum
dihantar ke bilik mayat di Hospital Tangkak di sini malam tadi.
Hashim Kamat, 55, tidak dapat melupakan saat akhir menatap wajah
anaknya, Mohd. Izwan Farid, 19, yang maut dalam kemalangan di Kilometer
2, Jalan Sengkang-Bukit Gambir dekat sini pada pukul 9.50 malam.
Dia mengetahui kejadian malang itu apabila menerima panggilan
daripada anak ketujuhnya, Hamizad, 16, mengatakan arwah terlibat dalam
kemalangan.
Semasa menerima panggilan tersebut dia berada di Kampung Parit Jarum
Darat, Bukit Gambir kerana menghadiri majlis perkahwinan anak
saudaranya.
"Saya amat terkejut kerana kami baru sahaja bertemu sejam sebelum itu
di rumah sebelum saya pergi ke rumah kenduri. Sebelum kemalangan, arwah
tidak pula menunjukkan sebarang perlakuan pelik.
"Apa yang menyedihkan, kejadian berlaku hanya tiga kilometer dari rumah kami di Kampung Batu 19, Sengkang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata,
mangsa menunggang motosikal dari arah Sengkang ke Bukit Gambir dan
dipercayai cuba memotong kenderaan lain.
"Bagaimanapun, dia gagal menyebabkan motosikalnya memasuki laluan
bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Kelisa. Akibatnya,
mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan manakala motosikalnya
berkecai.
"Pemandu kereta Kelisa hanya mengalami cedera ringan di muka akibat
terkena serpihan kaca cermin rempuhan itu," katanya ketika dihubungi
hari ini.
Beliau meminta saksi kejadian supaya tampil memberikan maklumat bagi
membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987.
SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 03 JUN 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan