MASALAH jalan yang rosak, terutamanya di pekan
Sagil, Tangkak di Ledang bukan masalah baru kerana ia telah berlarutan
sejak sekian lama dan hingga kini masih tidak dapat diatasi.
Walaupun keluhan mengenainya sudah banyak kali disuarakan, namun
jalan di pekan ini yang difahamkan di bawah penyelenggaraan Majlis
Daerah Tangkak (MDT) masih terbiar.
Keadaannya kini semakin teruk, selain berlubang, ada bahagian jalan
yang ditampal, tetapi tidak rata selain pecah dan menggerutu.
Kira-kira dua bulan lalu, pihak bertanggungjawab ada menampal
lubang-lubang di laluan tersebut yang menghubungkan Segamat dan Muar,
tetapi tidak sampai sebulan, ia rosak semula.
Pekan Sagil dianggap antara laluan penting kerana lima kilometer dari
situ terdapat destinasi pelancongan utama di Ledang iaitu pusat
rekreasi dan air terjun Gunung Ledang dan kira-kira 20 kilometer lagi
terletaknya kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Segamat.
Perkembangan ini amat memalukan kerana hampir tiga kilometer di
sepanjang jalan dari pekan Sagil ke pusat rekreasi itu dapat dilihat
dengan jelas kerosakan dan ia secara tidak langsung membahayakan
pengguna serta mencemar imej negeri ini.
Ini kerana pusat rekreasi tersebut menjadi tumpuan pelancong dari
dalam serta luar negara dan untuk sampai ke situ sekiranya datang dari
arah Muar atau keluar dari Plaza Tol Tangkak, perlu melalui jalan
tersebut.
Begitu juga bagi mereka yang ingin ke UiTM Segamat, jika datang
melalui lebuh raya tersebut harus menempuhi jalan yang sama melainkan
jika datang dari arah Segamat.
Justeru, diharapkan pihak terbabit supaya segera membaiki jalan di
pekan Sagil bukan sahaja kerana ia kerap menjadi tempat persinggahan
pelancong untuk ke Gunung Ledang atau UiTM tetapi juga untuk keselesaan
penduduk tempatan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 JUN 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan