PENGUNJUNG SETIA

06 Jun 2012

MAHASISWA DIMINTA KUASAI PELBAGAI ILMU

ABDUL Ghani Othman (belakang tengah) bersama penuntut UKM yang mengikuti Program Khidmat Komuniti di Dewan Kampung Solok, Tangkak, Johor, baru-baru ini. 
 
LEDANG 5 Jun - Golongan mahasiswa diminta menguasai pelbagai bidang ilmu supaya ia dapat diaplikasikan untuk kepentingan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ilmu dan kemahiran yang diterima semasa di kuliah seharusnya diaplikasikan kepada masyarakat dengan lebih meluas menerusi program kemasyarakatan yang dijalankan.

"Saya harap anda semua dapat memberi sumbangan daripada program komuniti itu bagi kepentingan keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhan," katanya semasa merasmikan Program Khidmat Komuniti oleh 85 penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri serta Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin. Program selama tiga hari itu bertujuan mewujudkan kerjasama dalam membentuk golongan saling sepakat selain mendedahkan mahasiswa kepada persekitaran lebih mencabar.

Ia juga sebagai usaha membentuk golongan belia bagi menyahut cabaran dalam apa juga keadaan di samping mengajak golongan terbabit menyumbang buah fikiran ke arah pembangunan masyarakat yang lebih dinamik dan berkualiti.

Abdul Ghani juga berharap, golongan mahasiswa dan pensyarah UKM yang terbabit dapat menjalankan kajian lebih terperinci mengikut bidang ilmu masing-masing di kampung terbabit iaitu Kampung Solok, Kampung Bukit Banjar dan Kampung Sri Jaya demi faedah masyarakat sekeliling.

Sementara itu, Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar UKM, Prof. Dr. Ir. Othman A. Karim meminta peserta menimba seberapa banyak pengalaman pada program berkenaan.

Beliau berkata, program seumpama itu adalah yang ketiga diadakan tahun ini selepas Kelantan dan Pahang.
"Sempena 42 tahun UKM, kita mahu mengadakan sekurang-kurangnya tujuh program khidmat komuniti tahun ini dan selepas ini kita merancang ke Sabah pada Julai ini," katanya.

Pada program membabitkan penuntut pelbagai jurusan itu, antara aktiviti yang diadakan seperti anak angkat dan ceramah oleh pakar perubatan UKM mengenai aspek kesihatan kepada penduduk kampung.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 JUN 2012

Tiada ulasan: