LEDANG 8 Jun - Kempen Gaya Hidup Sihat yang
diperkenalkan sejak 12 tahun lalu di negeri ini disifatkan gagal
mencapai matlamat kerana bilangan penghidap sakit berbahaya masih lagi
tinggi.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, perkembangan itu
menimbulkan tanda tanya sedangkan panduan pengambilan makanan dalam
kempen tersebut amat berkesan jika diamalkan.
"Program ini tidak berjalan lancar sejak 12 tahun lalu dan tidak tahu
kenapa. Serentak dengan kempen itu kita lancarkan senaman J-Robik di
peringkat negeri dengan tujuan yang sama.
"Ini semua untuk membantu rakyat menghindari penyakit dan mengamalkan
gaya hidup sihat," katanya berucap merasmikan Karnival Mini Pemakanan
Sihat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir dekat sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains,
Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan; Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim
Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; ADUN
Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat; Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin
dan Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Johor, Abdul Rahman
Salleh.
Abdul Ghani berkata, masyarakat perlu sedar bahawa tabiat pemakanan
mereka ketika ini yang makan secara berlebihan boleh memudarat dan
menyebabkan penyakit berbahaya.
Justeru, beliau berharap melalui kempen tersebut kesedaran dapat
dilahirkan kerana majoriti masyarakat negara ini amat mewah dengan
pelbagai makanan.
"Kita minta program seumpama ini diterus dan ditambah lagi pada masa
depan di peringkat daerah dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan
setempat," katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, sasaran program tersebut ialah
masyarakat setempat bagi membolehkan mereka memberi perhatian terhadap
kesihatan, sekali gus melahirkan generasi sihat, cergas dan bebas
penyakit.
Katanya, kempen yang bukan sahaja diadakan di Muar, Labis, Segamat,
Kluang, Kota Tinggi dan Pagoh itu menyediakan ruang pameran, forum,
ceramah kesihatan, pertandingan kesihatan dan sebagainya bagi melahirkan
golongan celik kesihatan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 JUN 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan