PENGUNJUNG SETIA

03 Jun 2012

SASAR HASIL PADI 10 TAN METRIK SEMUSIM

LEDANG 2 Jun - Pejabat Pertanian Ledang menyasarkan hasil padi meningkat kepada lebih 10 tan metrik berbanding empat tan metrik sehektar bagi setiap musim yang mampu dihasilkan ketika ini.

Pegawai Pertanian Daerah, Abdullah Rashidi berkata, hasil itu mampu dicapai dengan menggunakan benih padi, kaedah penanaman, pembajaan dan penjagaan yang betul.

"Strategi penanaman tiga musim setahun perlu diubah, misalnya musim pertama ditanam padi jenis CL1, musim kedua (CL2) dan musim ketiga jenis MR219, MR220, MR253 dan sebagainya bagi mengelak risiko serangan penyakit atau serangga.

"Kaedah pengawalan dan penjagaan juga perlu dilakukan dengan penggunaan baja biasa, baja tambahan dan racun yang betul bagi memastikan produktivi meningkat," katanya ketika ditemui pada Seminar Meningkatkan Kualiti Pengurusan Tanaman Padi MR219 dan MR220 di Pejabat Pertanian Sawah Ring, Bukit Gambir, dekat sini baru-baru ini.

Abdullah berkata, sebelum ini seramai 396 pesawah di daerah itu tidak mengamal cara pertanian yang betul dan moden kerana proses penanaman serta penuaian bagi setiap musim dilakukan serentak.

Sekiranya kaedah penanaman hingga penuaian dilakukan dengan yang betul, setiap hektar sawah mampu menghasilkan 10 tan metrik padi dengan nilai RM12,000 berbanding empat tan metrik dengan pendapatan RM5,000 ketika ini, katanya.

Menurutnya, keperluan meningkatkan hasil padi adalah penting kerana sawah di Ledang adalah yang terbesar iaitu merangkumi 70 peratus dari keseluruhan kawasan padi di negeri ini.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 03 JUN 2012

Tiada ulasan: