PENGUNJUNG SETIA

24 Jun 2012

LORI TERBAKAR: PEMANDU NYARIS MAUT

LEDANG 23 Jun - Seorang pemandu nyaris maut apabila lorinya musnah dalam kebakaran di Jalan Masjid, Pantai Layang, Rawang di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, pemandu berusia lingkungan 50-an sempat menyelamatkan diri apabila terhidu bau hangit dan asap dari bahagian enjin.

Pemandu itu bergegas keluar dari lori tersebut dan dalam tempoh beberapa saat, kebakaran yang berlaku di bahagian depan merebak ke semua bahagian.

Orang awam yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar kerana khuatir lori itu meletup dan membahayakan pengguna jalan lain.

Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Rahman Taib berkata, sepasukan 10 anggota bomba bersama sebuah jentera di sini bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran lori itu.

Menurutnya, sejurus tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati api sudah marak sekali gus hampir memusnahkan keseluruhan lori berkenaan.

"Kami mengambil masa 30 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran. Pemeriksaan lanjut mendapati 90 peratus struktur lori itu musnah dan pemandunya terselamat tanpa sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, nilai kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 24 JUN 2012

Tiada ulasan: