LEDANG 14 Feb. - Seramai 14,721 penduduk di Parlimen Pagoh menerima
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 dan fasa pertama mula diagih hari
ini kepada 2,041 penerima bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit
Serampang sebanyak RM879,500.
ADUN Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat berkata, daripada jumlah itu,
kawasannya secara keseluruhan mempunyai 7,367 penerima manakala DUN
Jorak 7,354 penerima dan pengagihan akan dilakukan secara
berperingkat-peringkat.
"Ini adalah janji ditepati oleh kerajaan dan ini adalah salah satu
daripada berpuluh atau beratus janji yang ditunaikan kerajaan Barisan
Nasional (BN). Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat.
"Bukan sahaja BR1M tetapi kerajaan juga membantu melalui Jabatan
Kebajikan Masyarakat dengan mengenal pasti mereka yang layak mendapat
bantuan," katanya berucap pada majlis penyerahan BR1M 2.0 bagi DUN Bukit
Serampang, di Felda Sri Jaya, di sini hari ini.
Penyampaian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sambil disaksikan Ahli
Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin
Md. Salleh.
Sementara itu, salah seorang penerima, Fathurrahman Kasim, 38,
dari Kampung Parti Raja Grisek yang cacat kedua-dua tangan dan kaki,
teruja apabila berpeluang berbual serta bermesra dengan Muhyiddin tanpa
disangka-sangka.
Katanya, tidak sia-sia dia yang datang bersama isteri dan dua anaknya
datang ke dewan tersebut seawal pukul 7.45 pagi lagi selain merupakan
penerima pertama tiba di situ, bersyukur kerana sekali lagi menerima
BR1M.
"Wang BR1M sebanyak RM500 yang saya terima hari ini akan disimpan
untuk kegunaan pada waktu kecemasan. Bantuan ini sangat bermakna buat
diri saya dan keluarga kerana dapat mengurangkan sedikit beban dan
tanggungan.
"Wang BR1M pertama saya gunakan membeli kelengkapan persekolahan anak
sulung, Mohamad Haikal, 6, manakala selebihnya menampung pembelian
keperluan harian rumah," ujarnya yang bekerja di stesen minyak dan
dikategorikan orang kelainan upaya (OKU).
Seorang lagi penerima, Hassan Abu Bakar, 56, hanya mampu
mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengadakan pemberian
BR1M 2.0 dan ia membolehkannya menerima bantuan tersebut buat kali
kedua.
Hassan yang berkerusi roda berikutan kecederaan dua kaki dialaminya
akibat kemalangan jalan raya pada 2005 menganggap bantuan tersebut
sebagai rezeki yang tidak dijangka.
Dia berharap, kerajaan BN sedia akan kekal memerintah selepas ini
kerana nasib golongan berpendapatan rendah dan sederhana sepertinya akan
terus terbela sekali gus dapat memastikan keadaan ekonomi bertambah
baik dan BR1M dapat diberi berterusan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 FEBRUARI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan