PENGUNJUNG SETIA

13 Februari 2013

TINGKAT PENGUASAAN ICT PELAJAR

Abdul Razak Ibrahim (dua dari kiri) dan Samian Sawio bertukar dokumen perjanjian dalam Majlis Persefahaman USM dan SMSM Untuk PPICT, di Sekolah Menengah Sains Muar dekat Tanjung Agas, Muar, baru-baru ini. 
 
LEDANG 12 Feb. - Seramai 66 guru dan 650 pelajar Sekolah Menengah Sains Muar (SMSM) berpeluang meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat apabila Projek Intelek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PPICT) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan sekolah berkenaan dimulakan pada bulan ini.

Pengurus PPICT USM-SMSM, Abdul Razak Ibrahim berkata, pada permulaan kerjasama tersebut mengambil masa selama lima tahun dan pelajar yang terbabit diperuntukan dua tahun untuk terlibat dalam projek berkenaan.

"Program ini memberi ruang dan peluang kepada seluruh warga SMSM untuk meningkatkan pengetahuan dan membina kemahiran dalam bidang ICT terkini. Banyak kelebihan akan diperoleh termasuk kemudahan disediakan USM.

"Pelajar diberi selama satu jam dalam seminggu untuk belajar dan waktunya disusun di luar waktu persekolahan manakala bagi guru pula, kita menyumbang 30 komputer dengan menyediakan perisian baharu," katanya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara USM dan SMSM di sini baru-baru ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh beliau bagi pihak USM manakala Pengetua SMSM, Samian Sawio mewakili sekolah itu sambil disaksikan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Sainah Amin.

Abdul Razak berkata, antara perisian baharu yang disediakan adalah Prezi Desktop Pro, Linux, Windows 8, Multimedia serta Robotic dan kemudahan tersebut dijangka dapat memudahkan guru-guru melakukan rujukan selain membantu pencapaian akademik SMSM.

Beliau berkata, kos keseluruhan projek itu adalah RM200,000 dan ditanggung oleh USM dan SMSM merupakan sekolah kelima terlibat selepas pihaknya bekerjasama dengan Kolej Melayu Kuala Kangsar (Perak), SM Sains Sultan Muzaffar Shah (Melaka), SM Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi, Jempol di Negeri Sembilan. 

"Pada permulaan, kita sediakan seorang tenaga pengajar iaitu lulusan ICT yang ditauliahkan USM. Kita akan tambah kepada dua tenaga pengajar untuk tahun berikutnya bergantung kepada kemudahan makmal sedia ada dan bagi acara tertentu kita akan tambah empat atau lima orang lagi," katanya.

Beliau berkata, yuran untuk menyertai program berkenaan adalah RM80 setahun bagi setiap pelajar dan jumlah dikenakan tersebut jauh lebih rendah berbanding jika mereka membayar untuk mengikuti program itu di luar iaitu antara RM400 hingga RM900 setahun.

Sementara itu, Samian berterima kasih kerana SMSM terpilih mengikuti program tersebut dan pihaknya yakin kesannya akan dapat dilihat apabila keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumum pada 2014 dan 2015.

Beliau yang telah sembilan tahun bertugas di sekolah berkenaan berkata, kemudahan tersebut akan digunakan sebaik mungkin bagi melonjakkan pencapaian akademik SMSM, sekali gus mengangkat martabat sekolah itu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2013

1 ulasan:

Unknown berkata...

KEPADA PEMAJU/KONTRAKTOR DIPELAWA UNTUK JOINVENTURE BERSAMA TUAN TANAH UNTUK PROJEK BIMA DAN JUAL RUMAH TERES/BANGLOW/FLAT 4 TINGKAT/ DIATAS TANAH SAYA LUAS 2 EKAR 2 ROOD 07.0000 POLE REZAB BUMIPUTERA. LOKASI TANAH SGT STRATEGIK/PERUMAHAN IAITU 200 METER KE JLN BESAR TANGKAK SEGAMAT/ MATRIKULASI LEDANG/KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR SEPERTI JALAN TAR/JAMBATAN BATU/DEWAN ORANG RAMAI/ KAW PENDUDUK KG PAYAMAS DALAM TANGKAK/SEBELAH RUMAH KETUA KAMPUNG PAYAMAS DALAM TANGKAK. SILA CALL EN OMAR 011-27632554.