LEDANG 16 Feb. - Johor bakal menjadi pengeluar makanan bersih dan
selamat untuk bekalan negara ini hasil pengeluaran daripada projek
Lembah Pertanian Bioteknologi di Kota Tinggi yang mempunyai keluasan
kira-kira 3,634 hektar.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman (gambar) berkata,
sektor pertanian di negeri ini sedang mengorak langkah ke arah itu
berikutan permintaan tinggi terhadap produk makanan secara bio organik
pada masa kini selain mempunyai pasaran yang luas dalam atau luar
negara.
Katanya, kelebihan projek itu yang sudah menarik pelaburan kira-kira
RM1.3 bilion ialah mengamalkan pembangunan pertanian secara mapan dengan
penggunaan bioteknologi yang tinggi di samping mengekalkan sistem
ekologi di kawasan projek.
"Pengguna sekarang lebih memilih untuk terhindar (daripada kaedah
pertanian) yang menggunakan kimia dan kita di Johor sudah pun memulakan
projek pertanian berasaskan bio organik yang dilakukan secara
besar-besaran.
"Jadi kita perlu tingkatkan kapasiti pengeluaran makanan dan
pertanian cara ini juga digalakkan untuk orang ramai melakukannya di
kawasan rumah," katanya berucap dalam Majlis Penyampaian Sijil dan
Bantuan Program Galakan Usahawan Jabatan Pertanian Negeri Johor di tapak
pasar malam pekan Serom, Serom 3, dekat sini semalam.
Abdul Ghani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom
berkata, projek tersebut bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan
makanan dan mengurangkan import bahan itu tetapi juga menggalakkan
perubahan baru dalam sektor pertanian.
Melalui peralihan daripada pertanian konvensional dan berskala kecil
yang terhad disebabkan oleh pelaburan yang kecil kepada pertanian
bioteknologi yang menggalakkan pertanian berskala komersial dengan
pelaburan yang tinggi, katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi meningkatkan lagi pengeluaran
tanaman makanan di negeri ini kerajaan memperkenalkan program tanaman
integrasi dan tanaman selingan dengan kaedah mengoptimumkan penggunaan
tanah di kebun atau ladang kelapa sawit dan getah.
Sebagai contoh katanya, melalui program tanaman integrasi
petani-petani disarankan supaya memelihara ternakan seperti kambing,
lembu dan ikan dan melalui tanaman integrasi ditanam dengan ubi, pisang,
keledek dan jagung.
Bagi menggalakkan kedua-dua program tersebut, tambah beliau, kerajaan
mewujudkan Program Meningkatkan Pengeluaran Tanaman dengan memberi
insentif tunai kepada petani untuk melipatgandakan hasil tanah.
SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 17 FEBRUARI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan