LEDANG 17 Feb. - Seramai 81 penerima Bantuan
Program Galakan Usahawan Jabatan Pertanian negeri di tapak pasar malam
pekan Serom, Serom 3 di sini kelmarin, berazam meningkatkan produktiviti
melalui bantuan mesin, peralatan dan insentif yang diterima.
Menurut mereka, bantuan itu membuktikan kerajaan negeri serius
membangunkan sektor pertanian selain menunjukkan keprihatinan terhadap
pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) serta petani walaupun
negeri ini terkenal dengan sektor perkhidmatannya.
Seorang penerima, Sadeli Katimin, 43, dari Parit Haji Idris, Bukit
Gambir di sini mendapat sebuah mesin memerah santan bagi memudahkannya
memproses dodol yang diusahakannya sejak dua tahun lalu.
Beliau yang menerajui syarikat SMTC Impian Bonda Enterprise yang
memasarkan dodol ke Muar dan Batu Pahat berkata, mesin berharga RM6,000
itu mampu menambah kuantiti pengeluaran kuih tradisional tersebut.
"Jika sebelum ini pembuatan dodol agak lambat kerana saya terpaksa
parut dan kisar sendiri kelapa dan kemudian memerahnya, ini memakan masa
untuk menghasilkan dodol. Dengan adanya mesin ini ia mempercepatkan
pembuatannya.
"Diharap dengan adanya mesin ini akan dapat membantu mengembangkan
lagi perniagaan saya. Jika tidak ada permintaan dodol, saya juga menjual
santan di Pasar Tani Bukit Gambir. Saya bercadang menambah mesin ini
kerana permintaan dodol semakin meningkat," katanya ketika ditemui pada
majlis tersebut.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Serom merasmikan majlis melibatkan 81 penerima dengan 13
daripada mereka menerima bantuan projek IKS dan selebihnya menerima
insentif Program Meningkat Pengeluaran Tanaman Makanan.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas
Tani negeri, Datuk Ab. Aziz Kaprawi; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan,
Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan dan
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan
Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang.
Norwati Jani, 58, dari Parit Jarum Darat, turut bersyukur kerana
terpilih menerima sebuah mesin pemotong rumput kerana dapat meringankan
bebannya yang sebelum ini terpaksa memotong sendiri rumput untuk kambing
peliharaan.
Ibu kepada lima anak itu berkata, dia sudah lama merancang
mendapatkan mesin berharga RM4,000 itu supaya urusan penyediaan rumput
sebagai makanan lebih 100 ekor kambing dapat dilakukan dengan cepat.
"Mesin ini menjimatkan tenaga kerana sebelum ini dua pekerja
diperlukan untuk memotong rumput sebelum boleh diberi makan kepada
kambing. Mesin ini memotong rumput secara lebih halus berbanding kaedah
biasa," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 FEBRUARI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan