PENGUNJUNG SETIA

23 Februari 2013

TOLAK PEMBANGKANG, PASTIKAN KESEMUA 26 PARLIMEN DIMENANGI PADA PRU-13

ABDUL Ghani Othman (tengah) bersama Chua Soi Lek (dua dari kanan) dan Hoo Seong Chang (dua dari kiri) pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MCA Peringat Negeri di SJKC Chi Ming 1, Tangkak, malam semalam.
 
LEDANG 22 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP Johor yang kini menghadapi konflik dalaman wajar memberi mesej jelas kepada rakyat untuk menilai sendiri kerapuhan hubungan antara parti pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, konflik yang berpunca daripada perebutan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dijadikan petunjuk kepada rakyat dalam menilai kedudukan pakatan pembangkang.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat negeri itu supaya menolak pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sekali gus memastikan Johor kekal menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

"Kita harap UMNO, MIC, MCA dan Gerakan akan kerja kuat supaya Johor terus jadi kubu BN. Kita mahu kesemua 26 kerusi Parlimen dimenangi BN supaya orang Johor dapat sama-sama menjaga dan memimpin negara untuk tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Beliau berucap pada majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MCA Peringat Negeri di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Ming 1 di Tangkak, di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Hoo Seong Chang dan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri.

Konflik DAP-PKR itu berpunca daripada perebutan kerusi apabila Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau membuat kenyataan supaya Datuk Chua Jui Meng dilucutkan jawatan Pengerusi PKR Johor kerana didakwa melancarkan kempen secara rahsia terhadap DAP di negeri ini.

Salah satu kerusi yang dikatakan menjadi 'rebutan' adalah kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini disandang Tan Ah Heng daripada BN.

Abdul Ghani berkata, rakyat Johor perlu bijak dan tidak sekali-kali memperjudikan nasib mereka dengan memilih pembangkang sebaliknya terus memberi kepercayaan kepada BN untuk melaksanakan agenda pembangunan.

Dalam masa sama, kata beliau, Pas yang sedar tidak mampu menarik sokongan orang Melayu di negeri itu kini cuba memancing masyarakat Cina untuk memilih mereka pada PRU-13.

"Pas kata dia ada calon untuk jawatan Menteri Besar tapi belum cukup kerusi untuk menawan Johor, dia kata hanya boleh menang bukan dengan sokongan orang Melayu tetapi masyarakat Tionghua.

''Saya percaya orang Johor akan kata mereka tidak ada tempat di negeri ini walau mendapat sokongan sesiapa pun," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 FEBRUARI 2013

Tiada ulasan: