PENGUNJUNG SETIA

04 Februari 2013

BERGANDING BAHU DENGAN KERAJAAN - TPM

MUHYIDDIN Yassin mengecat dinding sambil diperhatikan oleh isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (kanan), Abdul Ghani Othman (dua dari kiri), S. Subramaniam (empat dari kiri) dan Razali Ibrahim (lima dari kiri) sempena program My Beautiful Malaysia peringkat negeri Johor di Muar, Johor, semalam. - UTUSAN/Ishak Rahmad 
 
MUAR 3 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak generasi muda berganding bahu dengan kerajaan membangunkan lagi negara menerusi aktiviti kesukarelaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, golongan muda boleh menyumbang dengan memanfaatkan ilmu, kemahiran dan kebijaksanaan mereka untuk bersama-sama membantu rakyat yang lemah menerusi aktiviti sukarela mengikut kecenderungan dan kegemaran mereka dalam usaha membangunkan negara.

"Bidang kesukarelaan tidak terbatas. Buatlah program membantu masyarakat mengikut kegemaran dan lakukan yang terbaik untuk bersama-sama menyumbang kepada orang ramai. Marilah bergerak sederap dalam satu barisan dan menjadi satu pasukan bersama kerajaan.

"Yang penting kita mesti ada semangat, lakukan dengan bersungguh-sungguh dan sanggup berkorban apa sahaja. Kerajaan sudah sediakan dana sebanyak RM100 juta dan geran ini akan disalurkan untuk menjayakan program dan aktiviti kesukarelaan yang akan diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan My Beautiful Malaysia peringkat negeri Johor di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Lebih 20,000 orang khususnya golongan remaja dan belia membanjiri padang stadium berkenaan dan setia mendengar amanat Timbalan Perdana Menteri walaupun hujan renyai.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan penglibatan dan menghargai sumbangan golongan muda memaju dan membangunkan negara khususnya dalam usaha mencapai status negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata, proses transformasi yang dilakukan kerajaan turut memerlukan sumbangan generasi muda kerana mereka sebahagian daripadanya, malah kemajuan dan pembangunan negara di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengiktirafan ramai pemimpin dunia.

"Kita hendak majukan lagi negara dan negeri ini. Misalnya Johor kini dipandang tinggi dan menjadi tumpuan pelabur dengan adanya Iskandar Malaysia dan projek RAPID di Pengerang serta kita mempunyai khazanah untuk dibangun dan dibugarkan.

"Kita ingin menjadi negara contoh, model kepada banyak negara lain dan ramai yang mengagumi kita kerana walaupun berbilang kaum tetapi dapat hidup dengan aman, harmoni dan bersatu memajukan negara tidak seperti di beberapa negara lain yang berbalah sesama kaum mereka," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ada golongan yang mendakwa semangat kesukarelaan dalam kalangan generasi muda kian pudar dan sebagai generasi yang menjadi pemimpin masa depan mereka harus bergiat aktif dalam pelbagai bidang termasuk aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 FEBRUARI 2013

Tiada ulasan: