PENGUNJUNG SETIA

15 Februari 2013

MUHYIDDIN: BR1M MUNGKIN RM1,000 JIKA BN KEKAL KUASA

Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 
 
LEDANG - Timbalan Perdana Menteri hari ini membayangkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kini berjumlah RM500 mungkin meningkat kepada RM1,000 pada masa depan jika Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir negara.
  
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemberian BR1M akan diteruskan sekiranya kerajaan BN memenangi pilihan raya dan mempunyai kemampuan kewangan untuk terus membantu rakyat.
  
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Tun Razak) ada sebutkan dua hari lepas di Johor. Ada orang tanya ada ke tidak BR1M 3 dan BR1M 4.
  
"Beliau (perdana menteri) kata ada, dengan syarat BN terus berkuasa, barulah ada BR1M. Manalah tahu kalau rezeki bertambah, RM500 naik kepada RM1,000," katanya berucap pada majlis penyerahan BR1M kepada 2,042 penerima peringkat Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang, di Felda Sri Jaya, di sini hari ini.
  
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana supaya tidak menolak tuah dan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan bagi menjamin masa depan terutama dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan BN sudah elok namun ia belum mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju setanding negara luar.
  
Beliau berkata kerajaan kini berusaha untuk memperbaiki perkhidmatan dan menunaikan pelbagai janji yang dibuat berbanding pembangkang yang sering menabur fitnah dan mengelirukan rakyat dengan pelbagai cerita kononnya kerajaan tidak melakukan sebarang usaha memajukan negara.
  
"Pembangkang kata BN zalim, seksa rakyat. Kata kita tidak tolong rakyat. Jadi, rakyat jangan mudah termakan janji. Yang sudah elok, kita baiki lagi.
  
"Saya tidak kata BN elok 100 peratus. Dalam keluarga kita di rumah pun ada masalah. Sedangkan lidah lagi tergigit. Hari ini BN sudah tunai banyak janji, cuma belum sampai matlamat menjadikan Malaysia negara maju," katanya. - Bernama

SUMBER: SINAR HARIAN, 15 FEBRUARI 2013

Tiada ulasan: