MUAR 3 Feb. - Golongan muda harus mempunyai
idealisme sendiri seiring dengan tuntutan semasa bagi membolehkan mereka
menyumbang dalam pembangunan negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, generasi muda pada
setiap zaman mempunyai idea dan gagasan sendiri dalam membentuk serta
menyumbang kepada negara dan kelebihan itu harus berterusan hingga kini.
"Kita jangan lupa anak muda pada zaman lalu juga punya kekuatan
idealisme yang tinggi dan kuat semangat juang sehingga membolehkan
kemerdekaan negara tercapai. Semua ini dipelopori oleh kekuatan anak
muda dan idealisme sendiri.
"Zaman demi zaman, dekad demi dekad, sekarang sudah tiba giliran
orang muda masa kini mengetengahkan idealisme mereka. Jadi acara hari
ini dapat membangkitkan semangat dan dapat diterjemah dalam bentuk
amalan," ujarya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian My Beautiful Malaysia peringkat negeri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul
Rahman; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin;
Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam; Timbalan Menteri Dalam
Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Timbalan Menteri Belia dan Sukan,
Datuk Razali Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Infra Cablers Sdn. Bhd.,
Norhisham Mohamad yang juga Pengarah Urusan Utusan Printcorp dan
Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan.
Beliau berkata, golongan muda masa sekarang perlu memanfaatkan minat
dan bakat mereka dengan menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau
badan sukarelawan supaya mereka dapat menyumbang dalam arus pembangunan
negara.
Abdul Ghani berkata, dengan kekayaan dan kemakmuran negara yang
dikecapi ketika ini, aktiviti kesukarelaan dapat dilakukan tanpa banyak
halangan.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung itu, Muhyiddin
turut menyertai aktiviti mengecat kaunter tiket stadium berkenaan selain
menanam pokok di kawasan tapak acara bersama sukarelawan My Beautiful Malaysia.
Selepas itu beliau menyaksikan acara penyerahan replika kunci dan
kenderaan pelbagai guna (MPV), Hyundai Grand Starex Royale yang
disumbangkan oleh Infra Cablers Sdn. Bhd. dan Utusan Printcorp kepada
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 FEBRUARI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan