Cekal hadapi dugaan hidup
Rashidah menjalani rawatan dialisis di Hospital Tangkak.
LEDANG – Seorang wanita terpaksa bergantung dengan bantuan mesin dialisis apabila disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak tujuh tahun lalu.

Rashidah Sulaiman, 47, tidak menduga muntah darah dan keletihan yang sering dialaminya merupakan petanda diserang penyakit itu  yang kemudian diketahuinya selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Tangkak.

“Doktor beritahu, kedua-dua buah pinggang saya mengecut dan tidak berfungsi. Saya perlu buat dialisis untuk bertahan meneruskan hidup.

“Sejak tujuh tahun lalu, hospital ini umpama rumah kedua saya kerana setiap tiga kali seminggu saya akan datang ke sini untuk  dialisis,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang telah mendirikan rumah tangga tetapi tidak dikurniakan cahaya mata pernah berhutang dengan pihak hospital kerana tidak mempunyai wang bagi menjelaskan bayaran dialisis sebanyak RM13 satu sesi.

Katanya, suaminya, Zakaria Sarip, 40, ketika itu hanya bekerja sebagai pekerja kontrak dan tidak mempunyai pendapatan tetap sebelum bertukar kerja menjadi tukang cuci di hospital berkenaan.

“Memang malu berhutang dengan hospital, tetapi saya tiada pilihan kerana dialisis itu perlu dilakukan untuk elak badan rasa tidak sihat.

“Kini kos rawatan dialisis dibiayai sepenuhnya Majlis Agama Islam Johor (Maij) Cawangan Tangkak, sejak dua tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, selain itu dia juga perlu bergantung dengan tujuh jenis ubat setiap hari termasuk ubat kalsium, gastrik dan darah tinggi.

“Tanpa ubat berkenaan, sakit pada pinggang mudah menyerang terutamanya jika ada tersalah makan.

“Adakalanya ubat yang saya ambil ini tidak mampu menghilangkan rasa sakit dialami,” katanya yang tinggal menumpang di rumah ibu mertua di Kampung Nelayan, Solok, Tangkak di sini.

Katanya, penyakit dialaminya tidak mungkin akan sembuh melainkan melalui pembedahan pemindahan buah pinggang. Dia sedar perkara itu tidak mungkin terjadi, namun masih berharap penyakit tersebut boleh pulih .

SUMBER: SINAR HARIAN, 24 OGOS 2013