LEDANG 28 Ogos - Lima termasuk sepasang suami
isteri maut manakala tiga lagi cedera, beberapa jam selepas mereka
menziarahi saudara yang meninggal dunia di Kuantan, Pahang, dalam nahas
ngeri yang berlaku di Batu 8 (Kilometer 12.8), Bukit Kangkar di Jalan
Tangkak-Muar di sini awal pagi ini.
Kemalangan pukul 5.30 pagi itu berlaku apabila kenderaan pelbagai
guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki lapan sekeluarga itu terbabas dan
merempuh sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan.
Kesemua yang maut ialah Basiron Kasiran, 74, dan isteri, Rokiah
Osman, 62; Ramlah Bakar, 66, dua adik Rokiah iaitu Mahani, 56, dan
Jasilah, 42, yang memandu kenderaan tersebut untuk pulang ke Parit
Bakar, Muar.
Tiga anak Mahani iaitu Siti Hajar Abdul Rahim, 30, kritikal dan
dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah
(HPSF) Muar akibat patah tengkuk. Dua adiknya, Siti Nur Ain, 23, pula
patah kaki manakala Siti Nur Shuhada, 20, cedera ringan dan keadaannya
stabil. Mereka dirawat di hospital yang sama
Mayat Rokiah, Ramlah dan Jasilah yang maut di tempat kejadian
dihantar ke Hospital Tangkak, manakala Mahani dan Basiron dibawa ke
HPSF.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kenderaan
dinaiki keluarga itu dipercayai terbabas dan memasuki laluan
bertentangan setelah pemandunya dipercayai mengantuk lalu merempuh
sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan.
"Bahagian depan Toyota Avanza itu remuk dan roda depan treler
tersebut turut tercabut akibat rempuhan kuat. Pemandu lori berkenaan dan
pengguna jalan raya turut membantu mengeluarkan mangsa sebelum pihak
bomba tiba di lokasi kejadian. Kesemua mangsa dapat dikeluarkan
kira-kira pukul 6.30 pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa berasal dari Parit Bakar kecuali
Mahani dan tiga anaknya yang tinggal di Bandar Tenggara, Kota Tinggi.
Menurutnya, treler berkenaan yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur
diletakkan di bahu jalan kerana pemandunya bersarapan di sebuah warung
yang terletak kira-kira 30 meter dari kawasan nahas.
Harun memberitahu, lapan bersaudara itu dalam perjalanan pulang ke
rumah mereka selepas melawat seorang saudara mereka yang meninggal dan
bertolak dari Kuantan kira-kira pukul 3 pagi.
Mahani dan tiga anaknya tiba dari Kota Tinggi pagi semalam sebelum ke
Kuantan, katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen
43(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jenazah lima mangsa yang maut dalam nahas itu selamat dikebumikan di
Tanah Perkuburan Islam Parit Amat di Parit Bakar selepas solat asar hari
ini.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 OGOS 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan