PENGUNJUNG SETIA

23 Ogos 2013

TINGKAT PENGETAHUAN MESIN CANTAS

Ledang: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Tangkak, Ledang dan Muar menganjurkan kursus asas pengendalian mesin cantas yang disertai 30 pekebun kecil kelapa sawit di dua daerah berkenaan, kelmarin.

Kursus sehari yang diadakan di Kompleks Mohd Janis Sdn Bhd di Bukit Gambir itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan pendedahan kepada pekebun kecil kelapa sawit yang memiliki mesin pemotong kelapa sawit bermotor.

Penolong Penyelaras Tunjuk Ajar Sawit (TUNAS) Ledang Razman Roslan berkata, kursus itu memberi peluang kepada pekebun kecil yang memiliki mesin cantas mendalami berkaitan kaedah penggunaan dan penyelenggaraannya.

"Peserta diberikan pendedahan berkaitan pemangkasan dan penuaian kelapa sawit, pengenalan cantas serta pengenalan kepada komponen cantas disampaikan pegawai Unit Mekanisasi Ladang MPOB.

"Selain ceramah, peserta turut diberikan tunjuk ajar secara amali mengenai cara pemangkasan dan penuaian kelapa sawit di ladang yang menggunakan mesin cantas," katanya.

Pada program itu, MPOB turut membuka kaunter permohonan Skim Diskaun Cantas (SKIDIC) untuk pekebun kecil membeli mesin cantas pada harga diskaun manakala syarikat pengeluar mesin itu, Fancy Power Sdn Bhd dan Etani Sdn Bhd mengadakan pameran dan khidmat penyelenggaraan.

Razman berkata, melalui kursus asas itu, peserta diharap dapat memahami lebih mendalam penggunaan dan penyelenggaraan mesin berkenaan.

SUMBER: HARIAN METRO, 23 OGOS 2013

Tiada ulasan: