LEDANG - Dua terbunuh selepas terbabit dalam nahas melibatkan dua motosikal di Kilometer 7, Jalan Sengkang-Bukit Gambir, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam itu, seorang warga Indonesia berusia lingkungan 20-an maut di tempat kejadian, sementara rakannya yang juga berusia 20-an terselamat, namun mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Manakala, seorang pemuda yang baru selesai beraya di rumah neneknya di Kampung Seri Cantik, Sengkang, meninggal dunia kira-kira jam 2.40 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Mohd Fikri Abdullah, 21, menunggang motosikal jenis Yamaha 125c sendirian dalam perjalanan pulang dari rumah neneknya ke rumahnya di Bandar Baru Bukit Gambir.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Mohd Fikri dari arah Sengkang menghala Bukit Gambir cuba memotong sebuah kereta di hadapannya.

Malangnya, motosikal mangsa merempuh sebuah motosikal dinaiki dua warga Indonesia terbabit yang tidak dilengkapi lampu di laluan bertentangan.

Ketua Polis Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mayat warga Indonesia itu dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan rakannya masih dirawat di HPSF.

“Kita masih tidak dapat mengenal pasti nama kedua-dua warga Indonesia itu kerana masih menunggu majikan mereka membuat pengesahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 10 OGOS 2013