PENGUNJUNG SETIA

31 Ogos 2013

KIBAR 56 JALUR GEMILANG DI PUNCAK GUNUNG LEDANG

SEBAHAGIAN peserta program Ledang Merdeka Di Puncak Mu mengibarkan Jalur Gemilang di Gunung Ledang, Johor, semalam.
 
LEDANG 30 Ogos - Jabatan Belia dan Sukan negeri akan mengibarkan 56 Jalur Gemilang di puncak Gunung Ledang tepat pukul 12 malam ini sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56.

Program Ledang Merdeka Di Puncakmu itu anjuran bersama kerajaan negeri dan Perbadanan Taman Negara Johor serta disertai lebih 100 belia yang mewakili persatuan rekreasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Misi menakluk puncak gunung tersebut bermula 11 pagi ini dan dijangka tiba di puncak pukul 11.30 malam ini bagi menanti detik 12 malam.

Pegawai Kecergasan Nasional, Jabatan Belia dan Sukan negeri, Norazren Md. Lasim berkata, ekspedisi yang disertai semua kaum dan pertama kali dianjurkan itu mendapat sokongan penuh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Menteri Besar melihat ini sebagai satu pendekatan baharu menghayati erti kemerdekaan kerana memberi cabaran kepada orang muda. Lima wakil dari setiap daerah di Johor mengambil bahagian dan semua peserta mempunyai asas rekreasi.

“Jika cuaca baik, 56 peserta akan kibarkan 56 Jalur Gemilang pukul 12 tengah malam dan jika cuaca buruk, Jalur Gemilang dikibarkan awal pagi esok. Ekspedisi ini seperti satu simbolik iaitu mendaki sambil membawa bendera pada waktu malam sehingga ke puncak dan mengibarkannya.

“Ekspedisi itu juga mempunyai simbolik bahawa para pejuang terdahulu bersusah payah untuk mendapatkan kemerdekaan negara dan salah satu usaha menyemarakkan semangat patriotisme," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 OGOS 2013

1 ulasan:

@bby berkata...

TAHNIAH KEPADA SEMUA PESERTA LEDANG MERDEKA DI PUNCAK MU 2013. Semoga ukhuwah pelbagai kaum sepanjang program ini dapat diteruskan. Kepada Penganjur dan Urus Setia Tahniah dan Terima Kasih Diucapkan. Saya Sayang Malaysia!